Muhyiddin Perlu Bertaubat, Jangan Bermain Soal Akidah – Tok Mat

JOHOR BAHRU, 3 Sept – Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bertaubat susulan kenyataan beliau yang mengharamkan undian kepada calon Pakatan Harapan Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Pulai.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, atau Tok Mat, berkata Muhyiddin seharusnya bersikap budiman dengan menerangkan hala tuju atau perancangan parti kepada pengundi ketika berkempen atau berpolitik berbanding mengeluarkan kenyataan yang dilihat seperti mempermainkan akidah.

“Jangan yang halal kita haramkan, itu bukan hak kita, berkempen atau politik boleh tetapi akidah jangan dimain-mainkan. Kalau dalam sukan tinju, kita sifatkan ini seperti tumbukan bawah pinggang.

“Saya ingin beri nasihat kepada abang-abang saya ini supaya menjadi orang yang budiman, beritahu kepada orang apa yang kita hendak buat (jika menang PRK) sama ada mahu memantapkan kerajaan atau sebagainya, bukan dengan kenyataan seperti itu,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pagoh itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Daerah Mengundi Permatang Kempas di sini hari ini.

Menteri Pertahanan itu juga meminta jentera UMNO dan Barisan Nasional terutama sayap wanita untuk bertemu lebih ramai pengundi putih bagi menerangkan kepada mereka mengenai kepentingan mengundi calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan di Pulai.

Mohamad berkata ini kerana kemenangan di kerusi itu penting bagi memperkukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan yang memiliki majoriti dua pertiga sekali gus memastikan misi memulihkan ekonomi berjaya.

Beliau berkata kerajaan yang mantap menjadi antara kriteria utama untuk pelabur melabur di sesuatu negeri atau negara dan ini boleh dilihat menerusi pencapaian Johor yang mencatat pelaburan sebanyak RM70.6 bilion pada tahun lepas.

“Selepas Johor menang sahaja (dengan majoriti dua pertiga) pada bulan Mac, Johor membawa masuk pelaburan RM70 bilion pada tahun lalu iaitu 30 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara.

“Sekarang negara kita menjadi destinasi pelabur baharu nak datang, contohnya Tesla pilih Malaysia, Infineon Technologies pula tambah pelaburan RM25 bilion di Taman Teknologi Tinggi Kulim di Kedah,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.