Calon PH Nazri Abdul Rahman Ucap Terima Kasih, Hargai Komitmen Jentera BN

MUAR, 3 Sept – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram Ir. Nazri Abdul Rahman mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua jentera Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil bagi kawasan itu dan juga Parlimen Pulai.

Ir. Nazri, 56, seorang jurutera yang berpengalaman selama tiga dekad di Majlis Perbandaran Muar, turut menghargai komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua jentera BN yang bertungkus-lumus membantu beliau dalam sesi berkempen ini.


“Saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua kepimpinan. Saya amat berterima kasih atas sokongan jentera BN di dalam PRK peringkat DUN dan juga Parlimen Pulai. Saya memohon bantuan agar beberapa kawasan dapat ditingkatkan lagi sokongan kepada parti Kerajaan Perpaduan ini.

“Kalau kita lihat komitmen jentera dalam PRK ini amat tinggi. Kami di barisan parti Pakatan Harapan tidak menyangka komitmen yang tinggi bukan sahaja daripada UMNO negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor malah seluruh negara datang tumpu di sini,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Melaka bersama jentera BN DUN Simpang Jeram di dewan UMNO Bahagian Bakri, di sini, Sabtu petang.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua UMNO Bahagian Bakri Datuk Azman Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Pagoh Datuk Ismail Mohamed.

Seterusnya, Ir. Nazri yang berpendidikan Sarjana Kejuruteraan Awam Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) percaya dengan komitmen yang diberikan itu pasti akan membuahkan hasil yang positif dan berharap kerjasama yang dijalinkan dapat kekal selepas ini.


Untuk rekod, PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

PH menampilkan bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat bagi Parlimen Pulai, yang berhadapan calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Timbalan Ketua PPBM Bahagian Pulai Zulkifli Jaafar, dan seorang calon Bebas iaitu Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi.

Bagi DUN Simpang Jeram pula, PH meletakkan Nazri yang juga Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri yang akan ditentang calon PN Dr Mohd Mazri Yahya seorang pakar perubatan serta seorang calon Bebas yang merupakan ahli perniagaan S. Jeganathan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.