PRK Pulai Dan Simpang Jeram: BN Mampu Mengurus, Harungi Cabaran – Khaled
BAKRI, 2 Sept – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Barisan Nasional (BN) mampu mengurus serta mengharungi cabaran dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Kata Pengerusi BN Negeri Johor itu, ini berikutan buat pertama kali di negeri itu, UMNO/BN tidak meletakkan calon bertanding di kedua-dua kawasan tersebut bagi memberi laluan kepada rakan parti di dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita sedia maklum ini pertama kali dalam Pilihan Raya Kecil Barisan Nasional tidak bertanding. Walaupun kita tidak bertanding tetapi jentera Barisan Nasional masih bersama-sama keluar untuk membantu.
“Kita sudah tentunya berhadapan dengan beberapa cabaran. Pertama cabaran untuk mewujudkan keserasian antara jentera. Kedua, untuk mengurus ketidakfahaman dan kekeliruan pengundi.
“Jadi berasaskan kepada dua hakikat tersebut maka tumpuan dan pendekatan kempen kita mengambil kira bagaimana kita mengatasi cabaran-cabaran tersebut,” katanya kepada UMNO Online selepas melakukan ziarah kasih di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jeram Tengah, di sini pada Khamis petang.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Bakri Datuk Azman Ismail dan jentera parti.
Ulasnya juga, parti memandang serius atas kekeliruan dan ketidakfahaman yang timbul terutama buat jentera BN.
“Memang tidak dinafikan ada kekeliruan dan ketidakfahaman mengapa kita perlu beri sokongan kepada Pakatan Harapan dan mengapa Barisan Nasional bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
“Jadi, kita mengambil peluang daripada Pilihan Raya Kecil ini untuk kita memahami cabarannya bagi meningkatkan lagi keupayaan mengurus perkara ini dan untuk memastikan supaya pada akhirnya undi tidak dibuang kepada parti lawan.
“Ia satu cabaran yang kita kesan terutamanya selepas pilihan raya di enam negeri dan kita mahu mengurangkan cabaran tersebut. Kita tak nak apa yang dilalui semasa pilihan raya negeri itu berulang. Jadi ada kelebihan dari segi kita belajar dari pengalaman,” tambahnya.
Berhubung dengan gerak kerja dan penerimaan pengundi terhadap calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Amanah Negara (Amanah) yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Khaled melihat ia sangat positif.
“Setakat hari ini… gerak kerja sangat baik, penerimaan pengundi terutama ahli-ahli parti juga pada tahap yang memuaskan.
“… tetapi kita tidak akan berasa puas hati… akan terus usaha kita untuk berkempen memastikan sokongan diberikan kepada calon Pakatan Harapan di kedua-dua kawasan ini,” kata Menteri Pengajian Tinggi itu lagi.
Untuk rekod, PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi tersebut berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Dua PRK itu menyaksikan calon PH bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan iaitu Suhaizan Kayat di Parlimen Pulai dan Nazri Abdul Rahman bagi DUN Simpang Jeram, dengan kedua-dua mereka berdepan saingan tiga penjuru daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos lalu, manakala pengundian awal pada 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept. – UMNO ONLINE