Melaka Bangunkan Aplikasi Pertanian Pintar Elak Bergantung Orang Tengah- Dr Akmal

JASIN, 2 Sept – Melaka akan membangunkan aplikasi ‘Pertanian Pintar’ menerusi Jabatan Pertanian negeri bagi membantu petani, pekebun kecil dan industri hiliran memasarkan hasil, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata projek yang melibatkan peruntukan RM2.5 juta itu, kini sedang menunggu kelulusan kerajaan Persekutuan dan dijangka dilancarkan tahun depan.

“Ini merupakan projek perintis di Melaka yang dilihat apabila ia berjaya dilaksanakan, boleh menjadi contoh kepada negeri lain dan untuk permulaan kita menyasarkan seramai 1,200 orang akan berdaftar di bawah aplikasi ini.

“Inisiatif ini juga telah dipanjangkan kepada pengetahuan Timbalan Menteri Kewangan l Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sesi libat urus dengan kerajaan negeri pada bulan lalu yang turut menyambut baik hasrat tersebut,” katanya kepada pemberita di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Selandar di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Fairul Nizam Roslan dan Pengarah Pertanian negeri Rozli Azizi Talib.

Dr Muhamad Akmal berkata aplikasi itu akan membantu golongan petani memasarkan hasil secara terus kepada pengguna dan membolehkan mereka meraih keuntungan lebih tinggi.

Katanya, aplikasi itu juga merupakan platform pesanan dan penghantaran dalam talian iaitu pengguna boleh mencari dan memesan hasil pertanian secara terus daripada petani berdekatan dengan harga jauh lebih murah daripada pasaran.

“Jika pelaksanaan aplikasi Pertanian Pintar ini berjaya, kita akan memperluaskan lagi penggunaan aplikasi tersebut bagi sektor penternakan dan perikanan untuk mereka bersama memanfaatkan teknologi.

“Hari ini kita perlu menggunakan teknologi yang ada untuk membantu mengurangkan bebanan golongan itu seperti masalah lambakan produk pertanian dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak RM10.6 juta peruntukan disalurkan kerajaan negeri dan Persekutuan bagi bantuan input pertanian merangkumi peralatan jentera kecil dan lain-lain seperti baja kimia, baja organik, racun kulat serta racun rumpai.

Katanya bantuan itu bertujuan mengalakkan lebih ramai lagi menceburi bidang tersebut bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian di negeri ini, selain menyokong usaha kerajaan dalam menjamin kualiti dan sekuriti makanan negara.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.