Kredibiliti MB Johor Mampu Beri Kesan Positif Kepada Dua PRK Di Negeri Itu

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Veteran UMNO Tan Sri Shahrir Abdul Samad berpandangan terdapat faktor baharu yang memberi kesan positif dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Menurut bekas Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu, ia berdasarkan kepada kredibiliti Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang memimpin negeri itu.

“Pemerhatian saya dari jauh ialah adanya satu fakta baru di Johor, iaitu kehadiran tokoh baharu yang memimpin kerajaan negeri, iaitu Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Onn Hafiz selaku Menteri Besar Johor.

“Sebagai pemimpin baharu yang telah berkesan dari segi kehadirannya di negeri itu tanpa terbeban dengan kontroversi, beliau dapat membawa kesan positif dalam kedua-dua pilihan raya kecil,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Shahrir juga mengulas, bagi PRK di kedua-dua kawasan itu pada 9 Sept ini, undi penentu kemenangan adalah dari kalangan pengundi bukan Melayu.

“Pakatan Harapan (PH) melalui calonnya dari Parti Amanah Negara mencapai kemenangan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah kerana sokongan dari pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina yang masih terikut dengan Tsunami Cina pada PRU-14.

“Apakah adanya fakta yang mampu meredakan Tsunami Cina itu? Sambil itu, adakah Gelombang Melayu semenjak PRU-15 dan PRN enam negeri akan melanda Johor pula?” soalnya lagi.

Justeru katanya, bagi negeri Johor tidak banyak sebab yang boleh dijadikan sebagai asas untuk diproteskan oleh kedua-dua masyarakat Melayu dan bukan Melayu.

“Kecualilah asas pilihan pengundi ialah semata-mata untuk mengikuti ‘trend’ sahaja,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.