Jasa Dan Sumbangan Pemimpin UMNO Terdahulu Wajar Dihargai – Bung Moktar
SANDAKAN, 2 Sept- Pemimpin UMNO masa kini tidak kira di peringkat mana, diingatkan supaya tidak melupakan jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu yang berjuang bukan sahaja menuntut kemerdekaan dari penjajah tetapi berjuang demi kemajuan dan pembangunan negara.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, kemerdekaan, kemajuan dan pembangunan sesebuah negara tidak boleh dicapai hanya kerana hasil usaha dan pengorbanan pemimpin sedia ada tapi ia dimulakan oleh pemimpin terdahulu.
“Pemimpin terdahulu harus dihargai kerana jangan fikir adanya kita hari ini kerana kita. Sebaliknya, adanya kita kerana pemimpin terdahulu yang tidak tikam dari depan mahupun belakang dan pemimpin yang tinggalkan perjuangan,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO Bahagian Kinabatangan baru-baru ini di sini.
Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan berkata bagi menghargai jasa pemimpin terdahulu, sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke 66 tahun ini, UMNO bahagian itu telah mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan kepada pemimpin-pemimpin UMNO lama di peringkat akar umbi yang sebelum ini telah berjuang dalam parti dan masih setia terhadap UMNO.
“Ini adalah pendekatan kita (UMNO bahagian) menghargai segala jasa dan pengorbanan mereka kepada parti, walaupun sebahagian sudah tidak aktif disebabkan faktor usia namun kesetiaan serta prinsip perjuangan mereka bersama parti kami hargai,” katanya.
Sehubungan dengan itu Bung berkata Veteran UMNO Bahagian Kinabatangan bersama Wanita, Pemuda dan Puteri turun padang ziarah dan menyantuni para pejuang lama UMNO bahagian itu sebagai rasa penghargaan terima kasih atas prinsip dan kesetiaan mereka kepada parti selama ini.
“Sesungguhnya mereka adalah pejuang sejati, tanpa sebarang kedudukan, kesetiaan mereka kepada parti tidak tergugat, mereka adalah pejuang sejati berbeza dengan sebilangan pemimpin UMNO ada yang mendapat kedudukan istimewa bersama UMNO namun khianat kepada parti yang banyak berjasa kepada mereka,” jelas Bung. – UMNO Online