Jalaluddin Cabar PN Namakan Tujuh Ahli Parlimen UMNO/BN Yang Dikatakan Mahu Keluar Parti

BAKRI, 2 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias mencabar Perikatan Nasional (PN) menamakan tujuh Ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional (BN) yang mahu keluar parti dan menyokong mereka sebagaimana yang didakwa.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu yakin semua Ahli Parlimen UMNO/BN tetap istiqamah menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Baru-baru ini Perikatan Nasional kata kerajaan akan bertukar… tujuh Ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional akan keluar menyokong Perikatan Nasional. Barisan Nasional ada 30 orang Ahli Parlimen. Di Negeri Sembilan ada lima Ahli Parlimen.

“Jangankan kata tujuh waima seorang pun tidak akan keluar daripada UMNO/Barisan Nasional nak sokong Perikatan Nasional seperti yang mereka kata. Kita tanya dia… jawab saya punya kata-kata ini, saya nak cabar Perikatan Nasional namakan seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional yang nak keluar dan menyokong Perikatan Nasional… jawab.

“Saya boleh bagi jaminan tidak ada seorang pun kerana Ahli Parlimen Barisan Nasional sudah tetap pendirian dan istiqamah kepada perjuangan di bawah Kerajaan Perpaduan,” tegasnya dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Cawangan Simpang Jeram, di sini Jumaat malam.

Hadir sama Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Faizal Ramli, barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan dan Ketua UMNO Bahagian Pagoh Datuk Ismail Mohamed.

Dalam ceramahnya yang juga disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, Jalaluddin turut menempelak PN yang selalu memainkan sentimen agama dan politik fitnah semata-mata untuk merosakkan serta mengelirukan pemikiran rakyat.

Walhal hakikatnya, Kerajaan Perpaduan sentiasa menjaga kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu tanpa meminggirkan lain-lain kaum sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya dan Datuk Isam ada dalam Parlimen. Tahu apa yang dirancang oleh Kerajaan Perpaduan di bawah Anwar Ibrahim (Datuk Seri Anwar Ibrahim-Perdana Menteri) tentang masa depan agama kita. Datuk Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi-Timbalan Perdana Menteri) baru-baru ini umum di dalam Parlimen yang mana ada Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Harapan malah Perikatan Nasional, tentang kemampuan dan juga perancangan kerajaan untuk mewujudkan para huffaz 125 ribu bagi tempoh 2030.

“Mula dari peringkat tadika lagi, semua tadika Kemas… parti dalam Kerajaan Perpaduan tiada yang kata ini tidak boleh. Perjuangkan sekolah-sekolah tahfiz, menaikan taraf agamawan… tidak ada satupun dari parti-parti yang bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan yang mempertikaikan langkah yang diambil oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Justeru, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan itu juga berpesan kepada rakyat dan pengundi agar jangan terpedaya dan termakan dengan politik fitnah PN kerana akhirnya akan memperjudikan masa depan generasi kini dan masa hadapan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.