Sambutan Kemerdekaan Luar Biasa di Putrajaya, Simbolik Nilai Perpaduan

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan keterujaan beliau dengan sambutan Hari Kebangsaan yang berlangsung di Putrajaya, pagi tadi.

Jelas beliau, kehadiran luar biasa rakyat membuktikan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan mereka.

“Saya teruja melihat lebih 100,000 rakyat Malaysia yang hadir tak kira agama mahupun bangsa, tua dan muda ke sambutan anjuran sulung Kerajaan Perpaduan di Putrajaya. Malah saya dimaklumkan ada yang hadir ‘chop’ tempat dari malam semalam lagi. Luar biasa!

“Inilah perpaduan yang dimaksudkan, disulami semangat kemerdekaan warisan demi warisan yang sentiasa tersemat di jiwa anak Malaysia. Semoga generasi ini terus gemilang memelihara hari bersejarah ini selama-lamanya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam pada itu meluahkan penghargaan kepada kesemua pihak yang terbabit sepanjang sambutan ini.

“Sambutan Hari Kebangsaan 2023 pagi tadi berlangsung cukup meriah dengan perbarisan dari lebih 17,000 peserta, pertunjukan aset pasukan keselamatan dan pastinya yang paling di nantikan pertunjukan udara membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa.

“Tahniah dan syabas buat semua yang telah memberikan persembahan yang terbaik sepanjang acara ini berlangsung,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.