Tular Memo Dalaman Jabatan Peguam Negara… Wan Rosdy Gesa Pihak Berkuasa Lakukan Siasatan

KUANTAN, 29 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa pihak berkuasa untuk melakukan siasatan mengenai dakwaan wujudnya memo dalaman Jabatan Peguam Negara yang menyentuh enam pertuduhan terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Ini kerana katanya, siasatan tersebut penting dan perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan imej sistem perundangan dan kehakiman negara tercalar.

“Saya menggesa pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan wujudnya memo dalaman Jabatan Peguam Negara bertarikh 10 September 2019, yang menyentuh enam pertuduhan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

“Siasatan ini amat penting kerana dikatakan antara intipati utama memo tersebut adalah berkenaan cadangan dari pasukan pendakwaan syarikat pelaburan petroleum antarabangsa (IPIC) kepada Tan Sri Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara ketika itu… sebulat suara berpendirian bahawa enam pertuduhan tersebut tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie.

“Siasatan perlu dilakukan dengan kadar segera kerana isu memo ini boleh menggugat kredibiliti, imej sistem perundangan dan kehakiman negara, sekaligus memberi kesan yang tidak baik terhadap keyakinan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, adalah mustahak agar perkara ini diberikan perhatian bagi memastikan kedaulatan undang-undang dan sistem perundangan kekal berintegriti serta diyakini.

“Malah, ia juga memberi kesan langsung kepada proses perbicaraan di mahkamah yang sedang dihadapi oleh Datuk Seri Mohd Najib ketika ini.

“Demi menjunjung kedaulatan undang-undang dan memastikan sistem perundangan kekal berintegriti dan diyakini, adalah mustahak agar perhatian serius diberikan oleh pihak Peguam Negara terhadap perkara ini,” katanya lagi.

Terdahulu, sebuah dokumen yang didakwa ‘memo dalaman’ Jabatan Peguam Negara oleh pasukan pendakwaan IPIC setebal 12 muka surat bertarikh 10 September 2019 menyentuh berkenaan dengan enam pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib dan Irwan Serigar.

Isi kandungan dokumen yang tular tersebut berbentuk rekomendasi dari pasukan pendakwaan IPIC yang didakwa ditujukan kepada Tan Sri Tommy Thomas selaku Peguam Negara ketika itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.