Tuan Ibrahim Cakap Tidak Serupa Bikin, Semata-mata Untuk Raih Populariti Demi Undi PRK – Hariri

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – UMNO boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan menghormati agama Islam, Raja Melayu, bangsa Melayu dan Bahasa Melayu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan ternyata Pakatan Harapan (PH) berjaya memenuhi aspirasi ini. 

Demikian tegasnya Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Noor Hariri Mohamed Noor yang membidas pemimpin Pas yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menerusi satu kenyataannya, Hariri menganggap Tuan Ibrahim hanya sekadar bercakap di angin lalu, semata-mata untuk meraih populariti demi undi di siri Pilihan Raya Kecil (PRK).

 

“Tuan Ibrahim sepatutnya sedar, Pas dulu yang memutuskan hubungan Muafakat Nasional apabila sanggup berbohong dalam mesyuarat bersama UMNO demi untuk bersama Bersatu yang menawarkan habuan wang ringgit.

“Tawaran untuk bersama-sama dalam pilihan raya telah UMNO tawarkan kepada mereka tetapi ternyata habuan duit dan kuasa menjadi pilihan Pas bersama Bersatu dan rakyat tidak pernah lupa perkara ini.

“Agenda kestabilan negara adalah lebih penting daripada memenuhi agenda peribadi pemimpin Pas untuk menjadi menteri sebenarnya. Tidak timbul soal pimpinan UMNO bersekongkol dengan Dap,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Tambahnya, tidak seperti parti Gerakan di dalam Perikatan Nasional, belum apa-apa lagi sudah mempertikaikan 40 hadis Imam Nawawi.

“Nasihat saya kepada Tuan Ibrahim, kawal dahulu rakan komponen parti kamu. Usah campur hal parti orang lain dan sudah-sudahlah beretorik,” ujarnya.

Terdahulu dalam satu kenyataan media, Tuan Ibrahim memaklumkan Pas sedia bersama  UMNO tetapi dengan syarat kerjasama itu tidak melibatkan pemimpin parti yang berpakat dengan Dap. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.