UMNO Utuh Kerana Kekuatan Ahli, Setia Bawa Obor Perjuangan – Bibi Sharliza
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berpandangan UMNO ini kukuh kerana mempunyai ahli parti terutama Wanita yang setia dalam mendukung perjuangan parti.
Jelas beliau, meskipun berdepan pelbagai cabaran semenjak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) namun atas semangat perjuangan mereka tetap bersama dalam mendukung parti keramat ini.
“Saya yakin dan percaya Wanita ini sangat konsisten dan komited, tapi bagi setia ini mesti diterjemahkan tak boleh hanya cakap sahaja.
“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kita ada 19 kerusi yang menang dan pada PRU15 di peringkat Parlimen 30 kerusi, inilah satu semangat untuk kita bersama-sama berada dalam parti.
“Kita baiki kerana bagi saya parti kuat kerana ahli-ahlinya,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh bagaimanapun mengakui bahawa dalam meraih kembali sokongan rakyat, kerja kuat dalam mendekati rakyat perlu dilakukan.
“Saya merasa amat sedih melihat gerak kerja yang melaksanakan pelbagai pertukaran seperti Wanita terlibat dalam media sosial, cara kempen Tiktok, Facebook, Instagram, namun masih juga tidak memuaskan hati pengundi.
“Jadi kita kena duduk bersama dan buat post-mortem gerak kerja, empat tahun ini kita merangka, turun ke bawah dan ambil hati,” ujar beliau.
Dalam pada itu beliau juga turut memberikan pandangan ekoran segelintir pihak yang sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni membabitkan parti termasuk institusi Presiden.
“Lihat Pas, PKR macam mana dahulu mereka naik daripada bawah ke atas, mereka tak pernah salahkan Presiden akhirnya bersahaja kerana mereka menguatkan Presiden.
“UMNO jangan jadi seperti Saddam Hussein, dah tiada baru hendak mengenang jasa. Hari ini kita sudah pun kehilangan Presiden yang sangat kita sayangi, dah terpenjara.
“Jadi pada saya cara mengenakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini adalah cara yang sama untuk memusnahkan UMNO di peringkat akar umbi,” ujar beliau. – UMNO Online