Tolak Agenda Lawan, PRK Pulai Dan Simpang Jeram Pilih Kekalkan Perpaduan – Azleen Ambros

JOHOR BAHRU, 28 Ogos – Anak-anak muda Johor harus menolak sekeras-kerasnya perpecahan yang boleh memudaratkan negeri ini, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros.

Jelasnya, anak muda harus mengekalkan perpaduan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini serta mengelakkan perpecahan sebagaimana dimomokkan oleh pihak lawan berkaitan Kerajaan Perpaduan.

“Anak-anak muda selatan harus menolak perpecahan. Kita pilih perpaduan, wawasan dan kemakmuran kerana perpecahan ada mudarat yang lebih besar di hadapan kita. Dalam keadaan yang sangat getir ini, ketepikanlah apa jua sentimen.

“Pertaruhan terpenting dalam PRK (Pilihan Raya Kecil) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram ini bukan soal Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) melawan Perikatan Nasional (PN). Hakikatnya, ini adalah pertembungan Johor melawan anasir luar.

“Dalam PRK ini, lihatlah begitu ramai para pencatur politik diterbangkan pihak lawan dari seluruh negara. Dari utara, bahkan dari timur tanah air. Masing-masing tidak dapat menyembunyikan keinginan mereka mencampuri urusan kita di selatan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Azleen yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Gudang turut merasai ada gelombang dan unsur-unsur luar yang cuba merosakkan negeri ini.

“Ya… memang ada gelombang yang kita rasai. Tetapi yang dibawa itu bukanlah gelombang perubahan yang mereka dakwa sebaliknya gelombang untuk merosakkan negeri dengan unsur-unsur luar yang nyata bertentangan dengan nilai Johor Darul Takzim.

“Unsur-unsur luar yang datang ke sini bertentangan dengan nilai kita sebagai ‘Bangsa Johor’ yang muafakat dan bersatu-padu,” tegasnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.

PRK tersebut diadakan ekoran kekosongan berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit