Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi: Jangan Pertikai Usaha Kerajaan – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berharap agar pihak-pihak tertentu tidak mempertikaikan usaha kerajaan untuk menyuburkan ilmu agama Islam di sekolah.

Ini kerana katanya, Islam adalah cara hidup majoriti rakyat Malaysia dan bukan hanya ritual keagamaan.

“Islam adalah agama rasmi negara Malaysia. Islam juga adalah cara hidup majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam dan bukan hanya ritual keagamaan sahaja.

“Saya menyokong penuh usaha kerajaan untuk memperkenalkan modul penghayatan hadis 40 kepada pelajar Islam di sekolah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, tiada langsung paksaan untuk pelajar bukan Islam mempelajari modul tersebut.

“Tiada langsung paksaan untuk pelajar bukan islam mempelajarinya. Maka, jangan pertikaikan usaha kerajaan untuk menyuburkan ilmu agama Islam di dalam sekolah.

“Jika ada yang mempertikaikan tidak kira kawan mahupun lawan, berhadapanlah dengan Pemuda UMNO dahulu, noktah,” katanya lagi.

Pada Jumaat media melaporkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memulakan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang.

Dalam satu kenyataan, KPM memaklumkan, ia sebagai usaha memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam.

Menurutnya, ia akan dilaksanakan secara rintis melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 buah sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 buah sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.