Keikhlasan Bersama Berjuang Demi Masa Depan Rakyat Jadi Elemen Penting UMNO – Jeffery

KOTA KINABALU, 28 Ogos – Perbincangan dengan mana-mana parti untuk bergabung sememangnya tindakan awal yang dilakukan oleh UMNO Sabah dalam menghadapi cabaran akan datang tetapi elemen penting telah ditetapkan iaitu keikhlasan bersama demi masa hadapan negeri dan rakyat.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata kejujuran dalam membentuk kesepakatan amat penting kerana ia akan menyumbang kepada situasi sama-sama menang dan yang utama adalah segala ketetapan yang akan dipersetujui bersama kelak adalan untuk rakyat.

“Ini di antara elemen-elemen yang kita UMNO Sabah mahukan. Kita parti politik perlu melihat kepada gerakan lain-lain parti, sudah tentu kita tahu juga serba sedikit niat gabungan dengan parti lain dan ini banyak menyumbang kepada hala tuju UMNO Sabah pada masa akan datang.

“UMNO Sabah sudah melalui pelbagai rintangan sebelum ini, sudah tentu pengalaman ini mengajar kita banyak tentang berpolitik yang betul dan kali ini kita ambil pendekatan lebih berhati-hati mencari teman,” katanya.

Jeffery yang juga Ketua Bahagian UMNO Putatan berkata perbincangan awal memang menjadi kebiasaan mana-mana parti bagi mencapai objektif iaitu melihat potensi ‘smart partnership’ dalam mengharungi mana-mana pilihan raya.

Katanya politik masa kini amat berbeza dengan masa lalu, ‘single party’ bukan lagi satu kesesuaian untuk dilakukan sekarang kerana hasil dari data terkini dan dari laporan kerja di lapangan memerlukan UMNO Sabah mencari sahabat yang boleh bersama dan memberi kesan terbesar ketika menghadapi pilihan raya nanti.

“Saya meminta kepada ahli-ahli parti serta rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) menerima hakikat ini iaitu kita tidak lagi boleh menjadi ‘single party atau ‘single government’ sebab perkara ini tidak akan berlaku tanpa bersama dengan parti-parti lain ataupun gabungan lain dalam menghadapi pilihan raya akan datang bagi merai kejayaan.

“Saya sudah berulang kali menyatakan bahawa keutamaan UMNO Sabah sekarang adalah rakyat yang sedang dianda krisis tenaga elektrik, sumber air bersih terawat, kos sara hidup kerana kadar pengangguran yang tinggi serta masalah perumahan untuk rakyat, dengan beberapa isu urus tadbir kerajaan negeri yang dianggap tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Ini semua sangat-sangat memberi kesan kepada rakyat Sabah,” tegasnya.

Justeru, beliau berkata, jika ada mana-mana gabungan lain yang mempunyai hasrat yang sama sudah tentu UMNO Sabah amat mengalu-alukan.

Jeffery menambah UMNO Sabah mempunyai kuasa autonominya sendiri iaitu di antara haknya ialah boleh mencari mana-mana sahabat atau parti dan juga gabungan lain bagi membentuk kerajaan negeri biarpun ianya berbeza dengan Kerajaan Persekutuan.

Katanya UMNO Sabah sekarang ini majoritinya dipimpin oleh wajah-wajah baharu maka sudah tentu suara, idea dan tindakannya nanti sangat berbeza dengan yang lalu.

“UMNO Sabah sudah terbukti terus berkerja untuk rakyat Sabah biarpun dalam posisi pembangkang yang lalu.

“Saya berharap dengan kerjasama yang akan terjalin nanti dengan mana-mana gabungan lain ataupun parti lain, maka akan dapat bersama-sama membangunkan negeri Sabah.”

Katanya sudah tentu kepimpinan tertinggi UMNO Sabah ingin melihat parti ini kembali menjadi kerajaan negeri dengan mana-mana gabungan dipimpin oleh muka-muka baharu dan sudah terbukti boleh berkerja untuk rakyat Sabah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.