PRK: Jentera BN Terbuka Dengan Wadah Politik PH-BN – Onn Hafiz
JOHOR BAHRU, 27 Ogos – Jentera Barisan Nasional (BN) di Parlimen Pulai dilihat bersikap terbuka dan menerima baik wadah politik baharu melibatkan kerjasama antara parti itu dengan Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Katanya, penerimaan itu dapat dilihat semasa sesi perjumpaan dan penjelasan yang diatur bersama akar umbi dan usaha itu akan terus dipergiatkan khususnya sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 Sept ini.
“Alhamdulillah setakat ini perjalanan (kesefahaman) bersama ahli-ahli BN dalam keadaan baik dan mereka memahami keperluan kestabilan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya pemberita selepas perjumpaan bersama jentera serta akar umbi BN di Kampung Sungai Danga, Pulai, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penerimaan jentera BN terhadap calon PH Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, yang turut hadir dalam pertemuan itu.
Mengulas lanjut, katanya, Suhaizan adalah calon wakil rakyat terbaik untuk masyarakat di Pulai, malah calon PH itu juga sebelum ini pernah berkhidmat sebagai bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Beliau (Suhaizan) sudah banyak berjasa kepada rakyat dan negeri Johor secara keseluruhannya kerana pernah menjadi Speaker (DUN). Saya lihat pencapaiannya cukup baik dalam membantu rakyat.
“… saya yakin jika rakyat beri peluang kepadanya (dipilih menjadi wakil rakyat), beliau akan berkhidmat dengan baik dan meneruskan legasi Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub,” katanya.
Pada PRK Parlimen Pulai, Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang akan bertanding sebagai calon Bebas.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di kedua-dua kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 Sept diikuti hari pengundian 9 Sept.- BERNAMA