Terjemahkan Sokongan Dengan Kemenangan Calon Kerajaan Perpaduan

JOHOR BAHRU, 26 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap seluruh jentera parti dapat menterjemahkan sokongan  dengan kemenangan calon kerajaan perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai nanti.

Menurut beliau  sokongan yang ditunjukkan bukan hanya sekadar dizahirkan dengan kata-kata malah calon yang diketengahkan oleh rakan di dalam kerajaan perpaduan perlu menempa kejayaan kelak.

“Tidak hanya sekadar zahir dengan bercakap berkobar kobar tanpa melakulan kerja kuat untuk kita jayakan kemenangan calon yang diletakkan oleh kerajaan perpaduan.

“Ini bermakna kita mesti bekerja kuat…kalau benar kita setuju untuk pertahankan perpaduan itu bermakna kita perlu bekerja lebih lebih lagi dengan adanya PRK Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) simpang Jeram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Jentera BN di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini, malam tadi.

Turut bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan pimpinan BN yang lain.

Khaled seterusnya menambah kemenangan tidak akan datang dengan mudah dan memerlukan usaha yang bersepadu.

“Saya percaya BN Pulai akan mampu menyumbang dengan membantu kemenangan calon kerajaan perpaduan nanti,”ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi BN Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed turut menyatakan komitmennya bersama jentera parti yang lain untuk membantu kemenangan calon kerajaan perpaduan nanti.

“Kita anggap kerjasama dengan PH hari ini merupakan satu takdir kerana saya tidak pernah terbayang bahawa kerjasama ini akan berlaku.

“Takdir Allah swt…musuh politik sebelum ini boleh sepentas pada malam ini..saya katakan ini kerana saya adalah calon pada PRU lepas kena ‘hentam’..tetapi hari ini saya ingin menyatakan saya mahu bekerja untuk memastikan calon rakan kita menang, insya-Allah,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.