Sekat Kebanjiran Pas Ke Johor – Ahmad Zahid

MUAR, 26 Ogos – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Simpang Jeram dan Pulai, amat penting bagi mengekalkan Johor sebagai deposit tetap kepada kerajaan sedia ada, sekali gus membolehkan kebajikan rakyat pelbagai kaum di negeri itu terus terbela.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kemenangan calon Amanah yang mewakili gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) Nazri Abdul Rahman, juga perlu untuk menyekat PAS daripada bertapak di negeri itu yang kini diterajui oleh BN.

“Kita tidak mahu PAS menjadikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, sebagai tapak kedua selepas Maharani.

“Hanya orang Bakri dan Simpang Jeram yang boleh nafikan hasrat mereka itu, kita mesti susun strategi. Kerana PAS penuh muslihat… kita mesti lawan balik,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan jentera BN DUN Simpang Jeram di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Nazri.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, meminta Nazri, yang juga bekas jurutera di Majlis Perbandaran Muar, untuk bertindak sebagai ‘pakar banjir’, bagi menolak gelombang PAS berkenaan.

“Sebab itu sebagai pakar banjir,  beliau mesti tolak banjir itu, kita mesti jadikan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan gabungan PH dan BN ini, membanjiri seluruh negeri Johor sebagai negeri perpaduan paling kuat di negara kita ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lepas, BN mencatat kemenangan besar dengan memperolehi majoriti mudah apabila memenangi 40 kerusi DUN, manakala PN tiga kerusi dan PH pula 10 kerusi.

Ahmad Zahid, selain itu turut mengimbas semula ‘kenangan pahit’ UMNO itu semasa menjadi rakan kongsi PAS ketika dalam Muafakat Nasional, dengan menyatakan bahawa PAS sentiasa berusaha untuk ‘menikam daripada belakang’.

“Apabila kita jadi pembangkang dan ketika itu PAS juga pembangkang, kita cuba untuk menunjukkan penyatuan  mmah dan kita juga terjemahkan Muafakat Nasional, namun dalam tempoh itu kita belajar hati budi mereka,” katanya.

Kedua-dua kerusi Simpang Jeram dan Pulai kosong susulan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Penamaan calon hari ini menyaksikan saingan tiga penjuru di kedua-dua kerusi berkenaan, antara PH, PN dan Bebas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.