Pertahankan DUN Simpang Jeram Habis-Habisan – Onn Hafiz

MUAR, 26 Ogos – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan jentera-jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) agar terus berkerja keras bagi memastikan kemenangan BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Menurutnya, mengekalkan dan pertahankan kawasan ini sangat penting kerana ianya selari dengan Kerajaan Perpaduan.

“Saya mengingatkan semua jentera-jentera yang ada bahawa keselarian itu cukup penting kerana Johor mengutamakan pembangunan di negeri ini. Betapa pentingnya mengekalkan kawasan Simpang Jeram ini dan pertahankan habis-habisan. Tidak ada seinci pun kita biarkan mereka bertapak.

“Saya yakin dengan jentera BN ini dan akan terus bagi sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap calon ini dan yakin beliau akan menjadi wakil rakyat yang baik mewakili semua agama dan bangsa dan tidak akan lupa pada jentera-jentera UMNO/BN yang membantu bagi memberikan kemenangan nanti.

“Saya yakin dengan kehadiran calon DUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman kita dapat memperkukuhkan kedudukan di Johor bagi meneruskan agenda untuk membangunkan negeri dan negara,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan jentera BN bagi DUN Simpang Jeram di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman.

Onn Hafiz yang juga Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam mengharapkan pemimpin-pemimpin di negeri ini sentiasa membantu rakyat sama ada masa senang mahu pun susah.

“Jadilah pemimpin yang sentiasa membela rakyat. Kita di Johor ada cara kita dan berkempen dengan cara sihat, tertib dan beradab dan jagalah keharmonian bangsa Johor.

“Pada semua jentera-jentera UMNO/BN untuk tempoh dua minggu ini sama-sama turun padang, gerak kerja bersasar dan pastikan bahawa 9 September ini kemenangan adalah milik PH/BN,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama kata Onn Hafiz lagi mahukan negeri Johor menjadi negeri nombor satu dalam negara yang maju dalam pelbagai sektor.

“Johor ingin menjadi nombor satu dalam pelbagai bidang dan maju menjelang tahun 2030 dan tidak mungkin perkara ini dapat dilaksanakan tanpa bantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” ujarnya.

Terdahulu, beliau mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, pada Sabtu pagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.