Solidariti Presiden: Rosni Seru Wanita UMNO Tidak Berputus Asa, Teruskan Perjuangan

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari menyeru seluruh jentera Wanita UMNO di setiap peringkat agar tidak berputus asa dalam meneruskan perjuangan parti pada masa akan datang.

Jelasnya, majlis ‘Himpunan Solidariti Wanita Bersama Presiden: Mempertahankan Institusi Presiden’ yang berlangsung di sini semalam sangat berjaya bagi menangkis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Wanita UMNO hanya berdiam diri di saat kemudi parti digasak.

“Alhamdulilah program kita sangat berjaya. Saya mendapat video daripada Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad dan ianya mengatakan bahawa Wanita UMNO tidak berbuat apa-apa.

“Menteri Besar Kedah turut menuduh Wanita UMNO dengan pelbagai tohmahan. Jadi, saya terpanggil untuk kita bangkit mempertahankan apa yang patut dipertahankan terutamanya institusi presiden.

“Alhamdulilah, semua Ketua Wanita Negeri telah menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad,” katanya pada satu sidang media selepas majlis tersebut tamat.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa para jentera wanita akan turun ke negeri-negeri bagi memberikan penerangan mengenai Kerajaan Perpaduan yang terbentuk atas titah Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

“Selepas ini kita akan turun ke negeri-negeri dan memberikan penerangan. Mungkin mereka tidak faham lagi terutamanya mengenai Kerajaan Perpaduan. Adalah menjadi tanggungjawab Penerangan dan semua Ketua Wanita Negeri untuk turun ke akar umbi, memaklumkan apa kepentingannya kita mengekalkan Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini.

“Saya menyeru kepada Wanita UMNO di setiap cawangan supaya jangan pernah berputus asa dan mendengar segala tohmahan negatif daripada pihak yang mahu melihat UMNO ini hancur.

“Saya amat yakin dan percaya bahawa Wanita UMNO, apabila kita kumpul dan berikan penerangan, mereka akan faham dengan mudah. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.