Solidariti Presiden: Jangan Biar Segala Ancaman Porak-Perandakan UMNO – Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyeru seluruh jentera Wanita UMNO agar tidak membiarkan segala ancaman luar mahupun dalam memporak-perandakan parti.

Jelasnya, UMNO/BN melalui satu proses hebat sejak tahun 2018 namun segala perjuangan perlulah diteruskan kerana tiada satu pun kemudi parti yang tidak akan diserang musuh.

“Perjuangan kita masih jauh lagi. Kita melalui satu proses yang begitu hebat sejak tahun 2018. Kita kehilangan kerusi dan pada waktu itu kita kenal siapa kawan dan lawan. Siapa yang bersama dan meninggalkan kita untuk mengejar kedudukan, kebendaan serta rasa untuk dihormati sentiasa.

“Saya percaya inilah yang paling gentar, kita mesti hargai dan perjuangan ini perlu diteruskan. Siapa pun yang menjadi pemimpin UMNO, beliau akan menjadi sasaran serangan. Siapa pun.

“Jangan kita kata sekarang ini, tukar Datuk Seri Zahid maka yang lain itu akan terlepas daripada serangan. Siapa pun yang dilihat sesempurna mana sekalipun akan terlepas daripada serangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis ‘Himpunan Solidariti Wanita Bersama Presiden: Mempertahankan Institusi’, semalam.

Mengulas lanjut, beliau turut menyebutkan beberapa nama yang turut diserang secara bertalu-talu oleh musuh dengan niat untuk menghancurkan parti keramat itu.

“Tidak ada sesiapa yang tidak menyerang Tun Razak, Tengku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan orang masih ingat waktu Tun Mahathir pun beliau diserang sebagai ‘Maha Firaun’, ‘Maha Zalim’.

“Orang yang bertanggungjawab kepada pembunuhan di Memali, dikaitkan dengan pelbagai isu rasuah, kronisme, nepotisme namun UMNO yang mempertahankannya. Tun Abdullah tiada isu rasuah turut dikaitkan dengan isu lain.

“Datuk Seri Najib dipenjarakan. Sudah tentulah Datuk Seri Ahmad Zahid lebih parah menjadi mangsa… dan tidak ada jaminan sesiapa pun selepas beliau tidak akan menjadi sasaran serangan musuh-musuh kita,” katanya lagi.

Menurutnya, hanya ahli dan para kepimpinan yang mampu untuk menangkis segala serangan disamping mempertahankan parti perjuangan kemerdekaan ini.

“… yang boleh mempertahankan UMNO adalah kita semua… yang boleh mengangkat bahawa ini adalah parti keramat, mempunyai sejarahnya, siapa yang memerdekakan negara ini kalau tidak UMNO yang telah kita lihat jasa perjuangannya?

“Siapa yang boleh menafikan itu semua? Jangan nafikan itu semua. Sejarah UMNO, sejarah titik peluh, darah, perjuangan yang menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berdaya saing dengan negara-negara sekitar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar ahli dan para pimpinan supaya terus bergerak ke hadapan dan tidak memporak-perandakan parti dengan ranjau dihadapi.

“Jangan kita biarkan apa yang berlaku sekarang ini sebagai sesuatu yang menjadikan kita porak-peranda. Bergundah-gulanalah sebentar tetapi kita ‘move on’ selepas ini. Pilihan Raya Negeri (PRN) biarkan berlalu, apa yang kita mesti kejar selepas ini ialah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Kita akan memikirkan kaedah baharu, kita akan buat post-mortem. Gerak kerja Wanita UMNO tidak dinafikan antara yang terkuat dan terhebat. Tetapi perang baharu memerlukan kaedah yang berbeza.

“Mari kita kekalkan dan cekalkan hati. Tidak ada sesiapa boleh menggunakan keputusan yang lepas hanya untuk memporak-perandakan kita,” katanya lagi.

Majlis tersebut juga menyaksikan kehadiran Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Shabery Chik, dan kepimpinan Wanita UMNO. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.