Pembangkang Bawa Naratif Lebih Sudu Dari Kuah, Remehkan Kebaikan Demi Raih Sokongan – Noraini

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu menyaksikan manipulasi dimainkan pembangkang sebagai strategi mendapat sokongan rakyat.

Jelas beliau, mereka melemparkan pelbagai tuduhan kepada kerajaan termasuk menjanjikan pelbagai perkara kepada rakyat khususnya di negeri yang dimenangi mereka.

”Kita maklum yang dalam PRN baru-baru ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah bertanding di 108 kerusi di enam negeri. Daripada jumlah tersebut, kita hanya berjaya memenangi 19 kerusi sahaja, 14 kerusi di Negeri Sembilan, dua kerusi di Selangor, dua kerusi di Pulau Pinang dan satu di Kelantan.

”Calon wanita pula dari 12 calon, seorang menang di Negeri Sembilan. Siapa yang tidak kecewa apabila melihat calon siang dan malam berusaha menawan hati pengundi. Calon diajak dilayan mesra, diajak selfie tapi undi bukan dengan kita.

”Di mana silap kita? Naratif pembangkang memang lebih sudu dari kuah. Menjanjikan bulan dan bintang, tuduh macam-macam, kebajikan yang kerajaan buat semua diremehkan dan diperlekehkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ‘Himpunan Solidariti Wanita Bersama Presiden Mempertahankan Institusi’ yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam.

Majlis tersebut juga menyaksikan kehadiran Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Shabery Chik, dan kepimpinan Wanita UMNO.

Mengulas lanjut jelas Noraini lagi, hasil daripada keputusan PRN itu, pelbagai pihak mula saling menuding jari termasuk kepada kepimpinan UMNO/BN.

Jelas beliau, sedangkan mereka perlu melihat kepada konteks yang lebih luas iaitu tiga daripada enam negeri tersebut adalah kubu kuat kepada parti pembangkang.

”Hasil daripada keputusan itulah, kita mendapat tekanan dan kecaman. Dari yang luar tu faham lah tapi dari dalam pun sama. Seolah-olah kepimpinan gagal dalam merencanakan hala tuju parti untuk mendapat sokongan rakyat.

”Ya benar, kita merupakan parti yang paling banyak meletakkan calon daripada Kerajaan Perpaduan ini. Namun kita juga perlu sedar bahawa, majoriti kerusi yang kita tandingi adalah di bawah negeri-negeri yang dikuasai oleh Perikatan Nasional (PN) yang merupakan kubu kuat mereka.

”Kita terus diasak seolah-olah kita gagal, sehingga hampir orang terlupa, UMNO/BN telah berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang di Negeri Sembilan.

”Di Negeri Sembilan, kita berjaya memenangi 14 kerusi daripada 17 kerusi DUN yang kita tandingi semasa PRN yang lalu. Manakala di Pulau Pinang dan Selangor, kita telah berjaya membantu Kerajaan Perpaduan untuk kekal menerajui dua negeri ini,” ujar beliau.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, berkata amat tidak munasabah dan tidak adil untuk meletakkan kesalahan di bawah bahu Presiden semata-mata sebaliknya tanggungjawab ini perlu dipikul bersama-sama.

”Jika kita imbas sedikit sejarah sebelum ini, di bawah kepimpinan Presiden yang sama juga, kita berjaya mendapat keputusan yang sangat cemerlang di PRN Melaka dan Johor.

”Jangan terpengaruh dengan desakan-desakan daripada anasir luar yang mahu melihat keruntuhan institusi presiden dan parti ini,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.