Presiden UMNO Nyata Komitmen Turun Padang Bertemu Pemimpin Akar Umbi, Ahli-ahli Parti

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akan turun menemui akar umbi UMNO di setiap bahagian dan cawangan.

Jelas beliau, ianya penting bagi menyatakan komitmen parti kepada akar umbi untuk terus mara ke hadapan dalam membawa perjuangan parti keramat ini.

“Kita tidak lagi menoleh ke belakang sebaliknya mara ke hadapan, saya sendiri akan turun ke 191 bahagian seluruh negara dan berhajat bertemu bukan sahaja kalangan kepimpinan bahagian empat peringkat tetapi juga Ketua-ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Mahu bertemu semua kepimpinan seluruh peringkat dan ini adalah pusingan pertama, pada hemat saya kita ada masa untuk pusingan kedua bertemu dengan ahli-ahli di peringkat cawangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui media pada Himpunan Solidariti Wanita Bersama Presiden Mempertahankan Institusi yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini petang tadi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut sama memaklumkan bahawa post-mortem pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) juga telah diadakan melalui Mesyuarat Biro Politik setelah menerima laporan daripada penerangan dan juga war room.

Membabitkan Pilihan Raya Kecil yang akan diadakan di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Pelangai, Ahmad Zahid berkata beliau optimis dengan sokongan daripada parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan bagi memberikan sokongan kepada parti dan calon yang bertanding.

“Kerusi Pelangai itu kita adalah penyandang, saya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“…tentunya kita juga mengharapkan semua parti-parti komponen di bawah Kerajaan Perpaduan untuk bersama-sama.

“Malah esok juga saya akan ke Pulai dan Simpang Jeram untuk mengetuai jentera BN (Barisan Nasional) bagi membantu calon Pakatan Harapan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.