Pendekatan Positif Bina Negara Bangsa Penting Kembalikan Keyakinan Kepada UMNO – Shaiful Hazizy

MERBOK, 24 Ogos – Keyakinan orang Melayu terhadap UMNO perlu dipulihkan segera dan pendekatan positif membina negara bangsa ini adalah penting untuk meraih kembali sokongan rakyat terhadap perjuangan murni yang digagaskan sejak 1946.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, beliau menyambut baik kenyataan panjang lebar Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkenaan keperluan parti mengekalkan kemudi parti.

“Saya menyambut baik kenyataan panjang lebar oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, tentang perihal keperluan parti dan rasional untuk mengekalkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO.

“Memang benar apa yang dinyatakan beliau bahawa desentralisasi atau kebebasan penuh telah diberikan kepada UMNO Perhubungan Negeri dan UMNO Bahagian-Bahagian oleh Presiden parti bagi memilih calon serta merencana bagi setiap kerusi yang ditandingi UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri yang lalu.

“Malah Presiden UMNO itulah yang bertungkus-lumus turun padang berkempen di enam negeri terlibat meskipun jadualnya terlalu ketat dengan jadual tugas selaku Timbalan Perdana Menteri dan tanggungjawab hakiki yang perlu ditunaikan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, adalah sangat menghairankan apabila terdapat segelintir pihak mendesak Presiden UMNO berundur sedangkan beliaulah yang bertungkus-lumus untuk menyelamatkan parti ketika ianya hampir dikuburkan.

“Bahkan, sewaktu beliau mengambil alih tugas daripada ‘Bossku’, Datuk Seri Najib Razak, Presiden UMNO itulah yang tetap berdiri gagah berdiri menahan segala tekanan, hinaan dan cercaan terhadap UMNO, termasuk cubaan mengharamkan parti keramat bangsa ini.

“Biarpun kini masih berada dalam keadaan lemah, darah pekat UMNO yang mengalir dalam diri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itulah sebenarnya yang memastikan survival UMNO masih relevan di pentas politik negara, tetap terus berjuang demi agama, bangsa dan negara.

“Namun adalah sangat menghairankan apabila terdapat suara-suara sumbang mendesak beliau meletak jawatan ekoran kekalahan UMNO di PRN baru-baru ini, sebaliknya tidak mengendahkan peranan Ahmad Zahid sebagai ‘doktor pakar’ yang menyelamatkan UMNO dari ‘ditalkinkan’ pengkhianat parti,” katanya lagi.

Tegasnya, kepentingan Islam, bangsa Melayu dan raja-raja akan terpelihara selagi UMNO/Barisan Nasional (BN) berada dalam Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negara.

“Alhamdulillah, UMNO kini masih diberi izin untuk bersama mentadbir negara bersama Malaysia Madani dan adalah penting untuk UMNO bangkit mengatasi masalah dalaman yang ada, sekali gus memperkasakan diri dengan memperbaiki kelemahan yang ada.

“Keyakinan orang Melayu terhadap UMNO perlu dipulihkan segera dan pendekatan positif membina negara bangsa ini adalah penting untuk meraih kembali sokongan rakyat terhadap perjuangan murni yang digagaskan UMNO sejak 1946 di Istana Bukit Serene dahulu.

“Selagi ada UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan ini, selagi itulah kepentingan Islam, bangsa Melayu, bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu terpelihara. Biar pemimpin datang dan pergi, namun UMNO akan terus berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir, insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit