Hasrat PN Guna Logo Berbeza Mampu Cetus Perpecahan – Wan Mahussin

JELI, 24 Ogos – Hasrat Perikatan Nasional (PN) menggunakan logo berbeza dengan Persekutuan untuk sambutan Hari Kebangsaan di negeri-negeri pemerintahannya mampu menyebabkan perpecahan kaum dan masyarakat Malaysia.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain berkata, ianya merupakan satu tindakan yang penting diri dan membawa ideologi politik dalam semangat patriotik.

“Ianya adalah satu tindakan yang selfish dan ego kerana ingin menunjukkan bahawasanya mereka ini mempunyai pengaruh di samping mahu membawa satu ideologi politik dalam semangat patriotik.

“Mereka mahu membawa ideologi politik di dalam semangat patriotik. Pilihan raya adalah pilihan raya, tidak sepatutnya dijadikan politik itu di dalam semangat kenegaraan.

“Apabila mereka menggunakan logo berasingan, itu jelas menggambarkan semangat kenegerian bukannya kenegaraan,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa PN sedang merosakkan pemikiran dan ideologi masyarakat di negeri-negeri pemerintahannya.

“Kita nak sambut hari kemerdekaan negara, bukannya negeri. Logo itu adalah salah satu simbol bahawasanya PN ini sedang merosakkan pemikiran dan ideologi masyarakat.

“Ianya akan memberi satu sikap yang menyebabkan perpecahan kaum dan masyarakat di dalam Malaysia,” katanya lagi.

Pada Sabtu media melaporkan empat negeri di bawah pentadbiran PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo serta tema menyamai peringkat Persekutuan.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN.

Katanya, logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.