UMNO Pekan Desak AG Siasat, Jelas Kepada Umum Berkenaan Memo Dalaman

PEKAN, 23 Ogos – Atas prinsip “Keadilan bukan sahaja hendaklah dilakukan, tetapi ia juga hendaklah dilihat sebagai sudah dilakukan”, UMNO Pekan mendesak agar Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun menyiasat dan menjelaskan kepada umum berkaitan dokumen memo dalaman yang tular baru-baru ini.

UMNO Pekan memberi respon demikian berhubung mutakhir ini telah terbocor memo dalaman bertarikh 10 September 2019, setebal 12 mukasurat dari pasukan pendakwaan kes 1MDB-IPIC kepada Peguam Negara ketika itu iaitu Tan Sri Tommy Thomas.

Bagi kes 1MDB-IPIC ini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak telah didakwa bersama dengan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 25 Oktober 2018.

Justeru kata Ketua UMNO Bahagian Pekan Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, jika dokumen ini sahih, maka jelas telah berlaku kezaliman terhadap Najib, seorang pemimpin yang telah banyak berjasa kepada negara.

“Maka seharusnya Pejabat Peguam Negara perlu menarik semula kesemua enam pertuduhan berkait kes 1MDB-IPIC ini serta siasatan dibuat bagi menyiasat sama ada wujud elemen salah guna kuasa oleh individu tertentu dalam memastikan pertuduhan diteruskan terhadap Datuk Seri Mohd Najib.

“Malah kes ini juga boleh menyebabkan implikasi yang sangat besar dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Arab Saudi dan UAE (Emiriah Arab Bersatu) kerana syarikat IPIC adalah milik kerajaan Abu Dhabi, UAE,” katanya dalam satu kenyataan media.

Berdasarkan memo dalaman tersebut, jelas menunjukkan bahawa kesemua anggota pasukan pendakwaan yang terdiri daripada tujuh orang Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dan lima orang pegawai penyiasat telah sebulat suara mengesyorkan bahawa kes ini tidak layak dibawa ke mahkamah kerana tidak cukup bukti untuk disabitkan kesalahan (We are of the considered view that based on maximum evaluation of available evidence, there are grossly insufficient to prove not even a prima facie case for the 6 charges, let alone to secure a conviction beyond reasonable doubt).

“Umum diketahui bahawa perbicaraan kes 1MDB-IPIC tidak pernah bermula setelah ditangguh berulang kali oleh pihak pendakwaan selama lima tahun sejak didakwa pada tahun 2018,” katanya lagi.

Tambahnya juga, UMNO Pekan amat berdukacita dan hiba kerana pada hari ini, 23 Ogos 2023 merupakan genap setahun Najib berada di penjara Kajang apabila Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas beliau bagi kes SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos 2022 yang lalu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.