Rosni Ajak Perkukuh UMNO Kembali, Ahmad Zahid Setia Di Kala Parti Tidak Punya Apa-apa

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Tidak semua orang mampu memimpin UMNO di kala parti ini tidak punya apa-apa termasuk kuasa dan wang ringgit.

Demikian luahan Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari menjawab pelbagai persepsi dimainkan segelintir pihak membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau, ini kerana ada dalam kalangan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mengambil alih UMNO daripada pintu belakang.

Katanya ia dilakukan sejak daripada pemilihan lepas hingga kini dan tidak pernah reda.

“Mereka akan cuba seberapa daya untuk menangguk di air keruh asal ada hal sahaja mereka akan desak Presiden untuk berundur, bagi tekanan kepada Presiden supaya letak jawatan, bukannya mereka nak membantu, memulih dan memperkuatkan kembali UMNO.

“Mereka asak, desak untuk Presiden berundur agar mereka ada peluang dan kita kenal mereka ini siapa, orang yang sama juga.

“Insya-Allah Presiden akan terus memikul tanggung jawab dan amanah sebagai Presiden UMNO di kala susah dan senang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran itu berkata Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri malah akan teguh bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangun dan memulihkan ekonomi negara.

“Termasuk juga merapatkan perpaduan kaum serta menjamin kestabilan dan kemakmuran negara.

“Kepada yang berkehendak menjadi Presiden UMNO tunggu masa dan ketika pemilihan akan datang bertandinglah kerana Ahmad Zahid adalah pemimpin sejati yang mengalas tanggung jawab parti tidak akan lari di siang hari,” ujar beliau.

Jelas Rosni, semasa UMNO kecundang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), rakyat khasnya ahli UMNO tidak pernah lupa dengan tindakan beberapa dalam kalangan pemimpin bertindak meninggalkan parti.

“Ramai dalam kalangan mereka yang telah mendapat nikmat daripada UMNO lari lintang pukang meninggalkan UMNO.

“Ada yang menjadi katak melompat masuk rumah baru orang lain ,ada yang masuk gua yang hanya jenguk keluar bila hujan dah reda, ada yang menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut dan bagai bagai lagi.

“… yang tinggal kekal setia adalah ahli ahli akar Umbi Umno dan pemimpin kecil yang tidak mendapat apa apa loba.

Kata Rosni dalam serba kepayahan Ahmad Zahid terus memimpin UMNO meskipun berdepan ugutan, pertuduhan mahkamah.

Malah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tetap sabar dalam mengharungi ujian tersebut walau bertahun turun dan naik mahkamah, namun kekal bertahan dan tidak tunduk dengan ugutan untuk membubarkan UMNO. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit