Cadangan Guna Logo, Tema Kemerdekaan Berbeza Dengan Persekutuan Tidak Masuk Akal – Rosni

 

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari menyifatkan cadangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) untuk menggunakan logo dan tema kemerdekaan berlainan bagi negeri di bawah pentadbiran mereka adalah bersifat dangkal.

Katanya, ini kerana Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan adalah negeri yang berada di bawah kerajaan Pusat seiring dengan perkara-perkara termaktub dalam Perlembagaan.

“Pada saya ini adalah cadangan yang tidak cerdik dan tidak masuk akal. Kita dalam negara sekarang ini memang berpecah terutamanya orang Melayu. Saya harap kerajaan mengambil langkah yang secukupnya untuk membanteras cadangan oleh mereka.

“Jika mahu meneruskan hajat untuk menggunakan tema atau logo lain bagi sambutan kemerdekaan, apa niat sebenar beliau dengan cadangan tersebut?

“Lupakah kita ini berada sebuah negara Malaysia dengan mendukung Perlembagaan Persekutuan yang mana semua negeri di bawah pembangkang hari ini masih lagi berada di bawah Kerajaan Pusat?” soal beliau.

Rosni yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran berkata tindakan PN itu dilakukan bagi menunjukkan penguasaan mereka yang kini sudah mentadbir empat buah negeri.

Dalam pada itu kata beliau, rakyat juga bijak dalam membuat penilaian dan tidak mahu negeri mereka dilihat berasingan dengan Persekutuan.

“Saya nampak mereka ini hendak mengambil kesempatan dan menunjukkan bahawa sekarang ini mereka dalam ’empowered’ di beberapa negeri.

“Pada saya senang sahaja, PRN telah pun berlalu dan pengundi telah memilih parti yang mereka yakini untuk mentadbir negeri tersebut.

“Saya tidak melihat bahawa pengundi ini menjangkakan bahawa negeri tersebut terasing daripada Persekutuan,” ujar beliau.

Terdahulu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli, dilaporkan berkata empat negeri di bawah pemerintahan PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo dan tema yang diumumkan di peringkat Persekutuan.

Logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Tindakan Ahmad Fadhli itu mendapat respon pelbagai termasuk dalam kalangan tokoh negarawan yang menyifatkan ianya sebagai punca perpecahan dalam kalangan rakyat, serta dikhuatiri menggugat ketenteraman awam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.