Bung Moktar Minta Bahagian Dan Cawangan UMNO Lakukan Perancangan Rapi Dekati Pengundi Muda

KOTA KINABALU, 23 Ogos – Semua bahagian dan cawangan UMNO di negeri ini diminta agar melakukan perancangan rapi bagi mengenal pasti dan mendekati pengundi muda 18 tahun di kawasan masing-masing yang kadarnya setiap hari akan bertambah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sebaik saja pendafaran secara automatik (PSSA) dikuatkuasakan bagi pengundi muda 18 pada Disember 2021 warganegara yang layak serta mempunyai maklumat lengkap berdasarkan rekod di Jabatan Pendafataran Negara (JPN) akan didaftarkan tanpa perlu memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Golongan pengundi muda ini perlu kita ambil perhatian kerana golongan ini adalah segmen pengundi yang penting dan kritikal dalam menentukan kemenangan calon dan parti bertanding,” katanya semasa mempengerusi mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah dekat sini, semalam.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, mengikut pecahan demografi pengundi baharu menunjukkan hanya kira-kira 16 peratus dari 6.9 juta pengundi baharu mewakili kumpulan umur 18-20 tahun, kumpulan utama yang menjadi sasaran beberapa parti pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kemenangan gabungan utama parti politik di negara ini yang membabitkan blok Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) serta Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri baru-baru ini juga bergantung kepada pengundi muda,” katanya.

Bung berkata pengundi muda lebih terpengaruh dengan kempen melalui media sosial dan ‘trend’ dalam politik walaupun tanpa literasi politik yang tepat dan mereka mudah terpengaruh dengan kempen bersifat populis.

“Justeru terdapat keperluan daripada UMNO untuk memperhebatkan kempen bagi menggalakkan golongan muda ini terbabit dalam membuang undi semasa PRN atau PRU.

“Selain itu kita juga perlu memberikan penjelasan kepada mereka agar keluar beramai-ramai semasa PRU atau PRN. Ini kerana golongan muda ini biasanya memegang prinsip ideal dan tidak terikat dengan parti-parti politik, bukan seperti pengundi yang lebih veteran dari segi umurnya,” katanya.

Selain itu Bung yang juga Pengerusi BN Sabah berkata pendekatan yang sesuai mengikut citra rasa golongan muda perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan golongan ini mendapat info jelas dan tepat berkenaan dasar dan perjuangan parti serta program-program kerajaan yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka.

“Apabila parti membuat pendekatan yang sesuai selari dengan cita rasa golongan muda ianya memberikan dorongan untuk mereka bersama-sama dalam perjuangan UMNO dan perancangan rapi ini perlu diaktifkan oleh sayap-sayap parti terutama Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO yang disokong oleh bahagian dan cawangan,” jelas Bung.

Dalam perkembangan lain Bung juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada jentera BN dari Sabah yang bertungkus-lumus berkempen semasa PRN baru-baru ini khususnya di Selangor.

“Kemerosotan sokongan kepada BN semasa PRN lalu perlu kita ambil iktibar untuk memperkasakan parti, kemerosotan ini tidak boleh melemahkan semangat kita untuk terus memperkasakan parti, kita perlu terus berjuang tanpa terkesan dengan sentimen pihak lawan bahawa UMNO/BN itu semakin lemah,” katanya.

Menurut beliau kemerosotan sokongan kepada UMNO/BN ini perlu dipikul sebagai tanggungjawab bersama, tanpa menyalahkan atau mendesak Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakan jawatan.

“UMNO Sabah akan terus mendukung institusi kepimpinan khususnya kepada Presiden parti kerana kita melihat kemerosotan sokongan ini disebabkan banyak faktor. Kita perlu melakukan ‘post-mortem’ bagi memperbaiki segala kelemahan dan tanggungjawab ini perlu dipikul bersama dari kepimpinan tertinggi parti, kepimpinan negeri, bahagian dan cawangan kerana selepas ini kita akan berhadapan pula dengan PRN ke-17 di Sabah dan PRU ke-16,” tegas Bung lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit