Abe Din Tekad Lunaskan Kepercayaan Pengundi DUN Galas

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim bertekad untuk melunaskan kepercayaan rakyat di kawasan berkenaan yang sekali lagi memberikan kepercayaan kepada beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini dengan mengambil beberapa langkah awal.

Biarpun kerajaan negeri masih lagi dipegang oleh Pas, beliau yang merupakan penyandang bagi kawasan berkenaan akan terus komited dan penuh yakin segala kepercayaan pengundi baru-baru ini akan dibalas dengan sebaiknya terutama sebagai jambatan serta mata dan telinga untuk rakyat Galas.

Bagi beliau, tugas wakil rakyat bukan sahaja untuk bercakap di sidang Dewan Undangan negeri (DUN), malah apa yang lebih penting untuk mendengar permasalahan rakyat dan seterusnya mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama.

“Selain bercakap tugas wakil rakyat adalah mendengar… selepas mendengar permasalahan yang dibangkitkan, kita akan berusaha sebaiknya untuk mencari jalan penyelesaian kerana apa yang penting adalah untuk kebaikan rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi, apa pun setiap masalah yang timbul ada jalan keluar dan akan diperhalusi serta dicari pelbagai langkah sebaiknya.

Beliau turut berkongsi masalah penduduk di Kampung Lepan Jaya ketika kunjungannya ke kedai kopi semalam dan penduduk setempat mengambil kesempatan yang ada bagi berkongsi permasalahan yang timbul.

“Inilah yang saya katakan tadi… selain bercakap kita juga perlu mendengar masalah rakyat dan seterusnya akan membuat penelitian sebaiknya untuk menyelesaikan aduan berkenaan. Insya-Allah saya akan buat sebaiknya,” tambah beliau.

Dalam pada itu Syahbuddin turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh pengundi di DUN Galas yang telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian baru-baru ini.

“Terima kasih kepada seluruh pengundi… insya-Allah saya akan laksanakan amanah yang diberikan ini dengan sebaiknya,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.