Fokus Perkukuhkan Hala Tuju UMNO, Bukan Desak Presiden Letak Jawatan – Ak Mohd Yazri

KUALA PENYU, 22 Ogos – Ahli-ahli UMNO termasuk para pemimpin dan keseluruhan anggota parti perlu terus sepakat dan fokus kepada hala tuju untuk memperkukuh parti selepas berhadapan kemerosotan sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort, Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahya berkata, desakan beberapa pihak yang menuntut agar presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertanggungjawab dengan kekalahan tersebut dan meminta meletak jawatan bukanlah jalan penyelesaian terbaik untuk memperkasakan parti bagi menghadapai cabaran akan datang.

Katanya, adalah menjadi tugas ahli dan pemimpin parti untuk memikul bersama tanggungjawab bagi memulihkan kekuatan UMNO atas semangat ‘bersatu, bersetia, berkhidmat’ demi agama bangsa dan negara dengan menolak spekulasi, manipulasi dan persepsi berkaitan kepimpinan UMNO ketika ini yang lebih banyak disuarakan oleh mereka dari luar.

“Kita tidak boleh terikut-ikut budaya ini, sebaliknya kita perlu bersama bersatu mempertahankan institusi parti dan presiden agar tidak ada pihak yang cuba memperlekeh perjuangan UMNO iaitu parti keramat yang banyak berjasa kepada bangsa, agama dan negara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, kelmarin.

Menurut Ak Mohd Yazri, desakan melepaskan jawatan pada saat parti belum stabil akibat tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tidak membantu memperkukuhkan kesatuan sebaliknya melemahkan lagi UMNO.

“Pada ketika ini bukan masanya untuk menukar kepimpinan, malah perlu diperkukuhkan sokongan kepada kepimpinan dan parti malah dalam keadaan sekarang ada pihak ketiga yang mengambil peluang atas kemelut melanda UMNO,” katanya.

Sehubungan itu, Ak Mohd Yazkri berkata Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort akan terus mempertahankan insitusi presiden dan parti kerana yakin segala ujian dan cabaran yang dihadapi oleh UMNO ketika ini akan dapat diselasaikan.

“Masalah ini akan dapat diselesaikan jika ahli dan kepimpinan parti dapat bersatu padu dalam satu pasukan dan berpolitik menggunakan akal sihat serta bukannya dengan sentimen dan emosi semata-mata.”

Ak Mohd Yazri berkata ahli serta kepimpinan UMNO perlu melihat semula ketika Ahmad Zahid mengambil alih jawatan Presiden UMNO pada tahun 2018 iaitu saat parti dalam keadaan kalah teruk namun pelbagai cabaran ditempuh dengan beliau terus mempertaruhkan dirinya demi rasa sayangnya kepada parti.

“Seharusnya perjuangan dan pengorbanan beliau (Ahmad Zahd) perlu kita hargai ketika ada usaha dari pelbagai pihak untuk menguburkan UMNO namun beiau terus gigih mengemudi UMNO sehingga kini,” katanya.

Menurut Ak Mohd Yazri lagi banyak faktor perlu diambil kira atas kemerosotan sokongan rakyat kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam PRN baru-baru ini yang antaranya propaganda, fitnah dan politik perkauman yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) telah meracuni pemikiran rakyat.

Sehubungan itu, Ak Mohd Yazri berkata jentera parti di peringkat cawangan dan bahagian perlu diperkukuhkan, tohmahan, propaganda serta fitnah yang ditaburkan oleh parti lawan perlu ditangani agar tidak terus menjadi virus yang akan merosakkan pemikiran ahli dan rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.