Dilantik Exco Kerajaan Negeri Selangor: Rizam Berjanji Laksana Tugas Dengan Dedikasi, Berintegriti
SHAH ALAM, 22 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail bersyukur atas amanah yang diberikan kepadanya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Selangor.
Kata Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam itu, tanggungjawab yang diberikan itu akan dipikulnya dengan penuh dedikasi serta penuh integriti.
“Saya sangat bersyukur atas kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab ini, dan saya berjanji untuk menjalankannya dengan dedikasi dan penuh integriti.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong dan memberikan kepercayaan kepada saya.
“Saya menyedari bahawa tanggungjawab ini membawa amanah yang besar, namun saya bersedia untuk menghadapinya dengan tekad dan semangat yang tinggi,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.
Seterusnya, Rizam memohon doa semua agar beliau mampu memberikan khidmat yang terbaik demi memastikan Selangor terus maju dan makmur.
Selain Rizam, sembilan lagi ADUN telah mengangkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor petang semalam.
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan diadakan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang.
Terdahulu pada paginya, ADUN Sungai Tua Datuk Seri Amirudin Shari sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor buat penggal kedua.
Dalam perkembangan yang sama, Amiruddin turut memaklumkan bahawa Portfolio bagi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Negeri akan diumumkan selepas mesyuarat Exco yang pertama, esok. – UMNO ONLINE