TPM Zahid Bantu Penunggang Motosikal Kemalangan Jalan Raya
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membantu seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur untuk segera mendapatkan rawatan.
Menerusi perkongsiannya di Twitter rasminya, kejadian tersebut berlaku sewaktu beliau dalam perjalanan pulang setelah menghadiri Majlis Pecah Tanah Bangunan MIC.
“Saya secara kebetulan melihat berlakunya kemalangan yang baru terjadi melibatkan sebuah kereta dan penunggang motosikal berdekatan Jalan Tuanku Abdul Halim.
“Kami bergegas membantu Satnam dan saya telah pastikan agar rawatan serta urusan perubatan beliau dapat disegerakan,” katanya pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan doa agar mangsa tersebut sembuh dan dipermudahkan segala urusan.
Terdahulu tular satu video yang menunjukkan Ahmad Zahid sedang membantu penunggang motosikal berkenaan.
Dalam video berkenaan, penunggang motosikal terbabit dipercayai cedera parah dalam kemalangan itu.
Ahmad Zahid bersama orang awam cuba membantu dan menenangkan mangsa kemalangan berkenaan.