Tidak Adil Salahkan Presiden, Sama-sama Bertanggungjawab Untuk UMNO – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 21 Ogos – Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menganggap desakan untuk Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan berikutan prestasi UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak adil.

Seharusnya tegas Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, semua kepimpinan parti perlu sama-sama bertanggungjawab.

Bagi beliau, UMNO ada masa empat tahun untuk membetulkan struktur parti agar kembali kepada perkara asas dan memperkuatkan fundamental parti.

“Saya yakin dalam masa empat tahun, UMNO akan bangkit semula dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang… yang penting UMNO berhasrat untuk berubah dengan struktur kekuatan kita antaranya peranan Pemuda, Wanita dan Puteri harus dilipatgandakan.

“Jangan kita jadi orang kata sebagai tupai tebuk rumah sendiri… ini tidak baik… cukuplah pemimpin UMNO keluar dan mewah dalam UMNO tapi sekarang ini jadi musuh dan cuba hancurkan UMNO,” katanya sambil menambah agar desakan Ahmad Zahid meletak jawatan dihentikan.

Beliau berkata ahli dan kepimpinan UMNO harus melihat semula ketika Ahmad Zahid mengambil alih jawatan presiden pada 2018 ketika parti dalam keadaan teruk hingga ada yang tidak mahu bertanding pada pilihan raya.

“Tetapi beliau mempertaruhkan dirinya sehingga sekarang,” katanya.
Bung Moktar berkata sebetulnya UMNO tidak dilihat kalah teruk pada PRN di enam negeri baru-baru ini.

Beliau berkata yang kalah teruk adalah Perikatan Nasional (PN) apabila pada peringkat awal mereka yakin mampu menawan empat hingga lima negeri.

“Realitinya masih 3-3. Di Negeri Sembilan, UMNO berjaya meraih kemenangan di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pakatan Harapan menang di 17 kerusi DUN,” katanya.

Justeru, katanya, mana-mana kumpulan dalam UMNO harus melihat perkara ini secara positif. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit