Logo, Tema Hari Kebangsaan: Baca Sejarah Dan Perlembagaan, Hormat Semangat Persekutuan – Imran

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin menempelak tindakan Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang mencadangkan negeri di bawah parti itu untuk menggunakan logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan 2023 berbeza dengan Persekutuan.

Katanya tindakan ini boleh memecahbelahkan keharmonian dalam kalangan rakyat dan suatu kesilapan yang tidak bertanggungjawab oleh negeri-negeri yang berada dalam Persekutuan.

“Saya menggesa Ketua Pemuda PN segera menarik balik kenyataan beliau dan kembali semula ke landasan sebenar agar setiap negeri di Malaysia ini tidak kira sama ada ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan ataupun PN mesti menjayakan dan hormat semangat Persekutuan dalam negara kita.

“Baca balik sejarah dan Perlembagaan. Persekutuan ini mencapai kemerdekaan dahulu atas nama Persekutuan, tidak ada satu negeri pun yang merdeka secara sendiri,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar dalam pada itu berkata, Malaysia juga bukanlah sebuah negara yang memberikan kuasa autonomi kepada negeri secara mutlak khususnya dalam segi pentadbiran dan juga urus tadbir di peringkat Persekutuan.

Jelas Imran lagi, tidak ada negeri yang mempunyai punca kuasa atau autonomi dalam menentukan dasar kecuali dalam beberapa perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan sebagai contoh berkenaan hal ehwal agama Islam.

“Jadi apabila dia buat kenyataan sebegitu menggambarkan negeri khususnya dikuasai oleh PN ini seolah ada kuasa autonomi membuat keputusan mereka sendiri tanpa melihat kepada keseragaman di peringkat Persekutuan apatah lagi sambutan Hari Kemerdekaan ini adalah khusus melibatkan perpaduan, keharmonian, kerjasama semua kaum.

“Malah ini adalah perkara sensitif, seharusnya senada tidak kira apa kerajaan pun. Jangan kerana berbeza parti politik, sampaikan membuat sesuatu yang menjejaskan perpaduan dan bertentangan dengan Perlembagaan,” ujar beliau.

Terdahulu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan kemungkinan gabungan itu akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza untuk sambutan peringkat negeri di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir PN.

Tindakan Ahmad Fadhli itu mendapat respon pelbagai termasuk dalam kalangan tokoh negarawan yang menyifatkan ianya sebagai punca perpecahan dalam kalangan rakyat, serta dikhuatiri menggugat ketenteraman awam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.