Solidariti Demi Kestabilan, Lihat Secara Menyeluruh – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berpandangan apa yang utama hari ini adalah solidariti di kalangan ahli parti ketika UMNO sedang berdepan dengan cabaran serta gelombang termasuklah keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Menurut beliau tanggungjawab berkenaan seharusnya bukan dipikul oleh individu khususnya di bahu Presiden parti semata-mata malah semua pemimpin UMNO perlu memikul tanggungjawab merubah dan membaharui UMNO.

“Umum tahu bahawa undi kepada UMNO sekali lagi merosot dalam (PRN) di enam buah negeri baru-baru ini. Susulan daripada itu, timbul desakan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanggungjawab dan melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO.

“Saya berpendapat bahawa Presiden UMNO tidak wajar memikul tanggungjawab ini bersendirian kerana semua strategi dan tindakan UMNO dibentuk daripada pendekatan inklusif dan digerakkan secara kolektif.

“Sementara itu, UMNO juga merupakan komponen penting yang mendukung Kerajaan Perpaduan pada hari ini dan merupakan tonggak kestabilannya. Malah, UMNO masih lagi menjadi kerajaan di beberapa buah negeri di dalam negara iaitu mandat pentadbiran dan pengurusannya perlu dilaksanakan dengan baik,” katanya kepada UMNO-Online.

Pada masa yang sama Hasmuni turut mengakui bahawa parti memerlukan perubahan dan pembaharuan tuntas serta menyeluruh (total transformation) sama ada perubahan dan pembaharuan yang bersifat luaran serta dalaman.

Tanggungjawab ini tegas beliau bukan hanya perlu dibebankan di bahu Presiden malah semua pemimpin dan pemberani UMNO perlu memikul tanggungjawab merubah dan membaharui UMNO.

“Benar, UMNO sedang melalui masa-masa sukarnya sekarang ini. Sebab itulah paling penting dalam menghadapi kegentingan ini ialah perpaduan (solidariti), kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, perjuangan yang sejati dan pengorbanan yang tinggi.

“Maka, sudah tentulah nakhoda yang sedang mengemudikan kapal UMNO ini memerlukan sokongan dan dukungan yang padu dan mantap untuk menghadapi gelora dan gelombang ini. Sokongan dan dukungan ini boleh diterjemahkan dalam bentuk suara pemulihan dan pemantapan UMNO dan bukan hanya melepaskan jawatan sebagai satu-satunya solusi.

“Paling genting dan penting ialah Pilihan Raya Umum Ke-16 kelak bagaimana kita mahu kembali meletakkan UMNO di hati rakyat dan kekal relevan sebagai parti pembela agama, bangsa dan negara,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.