Logo, Tema Merdeka Berbeza: UMNOSiswa Sifatkan Ganjil Dan Provokatif

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Pihak berkuasa dituntut agar menjalankan siasatan segera berhubung kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Fadhli Shaari yang dilihat berbaur hasutan dan menganjurkan perpecahan.

Presiden Mahasiswa UMNO Malaysia, Wan Muhammad Zuhir Ghazali berkata kenyataan yang menyatakan empat buah negeri di bawah PN iaitu Kelantan, Perlis, Terengganu dan Kedah akan menggunakan logo dan tema kemerdekaan yang berbeza daripada yang digunakan di peringkat Kerajaan Persekutuan dilihat tindakan ganjil dan provokatif.

Menurut beliau ini boleh membawa kepada takrifan hasutan dan menganjurkan perpecahan dalam kalangan rakyat dan siasatan boleh dibuat sama ada di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan atau Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Tindakan Pemuda Perikatan Nasional yang melancarkan logo dan tema kemerdekaan negara sendiri menggambarkan sikap mengetepikan semangat patriotisme dan menghambat semangat federalisme.

“Hari Kebangsaan bukan milik mana-mana kelompok atau parti politik atau mana-mana kerajaan negeri. Ianya merujuk kepada pembebasan Malaysia daripada cengkaman penjajah, yang mana ditunjangi oleh Kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri.

“Oleh sebab itulah, sambutan hari kemerdekaan peringkat negeri harus dilaksanakan bersekali sebagai tanda kebersamaan dalam sesebuah negara. Bahkan sebagai tertib dalam berpersekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau lagi amat janggal dan mendukacitakan apabila setiap kali dalam retorik pemimpin-pemimpin PN, mereka menyeru kepada semangat federalisme terutamanya yang melibatkan peruntukan dana kerajaan persekutuan dan bidang kuasa yang perlu dihormati.

Tetapi dalam soal ini, tambah beliau lagi, jelas Pemuda PN telah mencerminkan sikap asal mereka yang jauh lebih jelek dengan menganjurkan pecah-belah dan melanggar-ranapkan semangat berpersekutuan (federalisme).

“Mahasiswa UMNO menyarankan Pemuda Perikatan Nasional untuk memahami kerangka negara ini yang mana berumbikan sistem federalisme dengan tujuan untuk menjaga keharmonian dan kestabilan semua negeri dan wilayah. Kemerdekaan Malaysia perlu bermula dengan perpaduan. Dari akar perpaduan inilah, kita boleh kukuhkan kestabilan negara,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.