Tular Memo Dalaman AGC, Pemuda UMNO Gesa Siasat Kesahihan – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Penuda UMNO Malaysia hari ini mengambil serius perkara yang tular di media sosial baru-baru ini berkenaan pendedahan sebuah dokumen yang didakwa “Memo Dalaman” Jabatan Peguam Negara (AGC) oleh pasukan pendakwaan IPIC.

Dalam satu kenyataan Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata dokumen sepanjang 12 muka surat bertarikh 10 September 2019, menyentuh berkenaan dengan enam pertuduhan yang telah dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Bin Abd Razak dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Bin Abdullah.

“Isi kandungan dokumen yang tular tersebut berbentuk rekomendasi dari pasukan pendakwaan IPIC yang sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan tersebut tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie. Dokumen yang tular tersebut didakwa ditujukan kepada Tan Sri Tommy Thomas (Peguam Negara Ketika itu).

“Pemuda UMNO Malaysia mengambil serius berkenaan dengan perkara ini memandangkan dakwaan pendedahan-pendedahan yang dicatatkan di dalam Dokumen tersebut mengandungi rumusan keterangan terperinci yang dengan jelas memberikan kesan kepada kes 6 pertuduhan terhadap Dato’ Seri Najib yang masih berjalan di Mahkamah,” katanya.

Oleh itu, katanya lagi Pemuda UMNO Malaysia mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk menyiasat kesahihan dokumen tersebut berserta isi kandungannya.

“Sekiranya sahih dokumen yang tular tersebut adalah benar, Jabatan Peguam Negara haruslah mengambil tindakan sewajarnya dengan menarik balik 6 pertuduhan yang dikenakan terhadap Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Mohd Irwan selaras dengan rekomendasi di dalam dokumen tersebut.

“Seandainya juga isi kandungan dokumen tersebut adalah sahih, Pemuda UMNO Malaysia mendesak satu siasatan dibuat bagi menyiasat samada wujud salah guna kuasa dan kedudukan oleh individu tertentu yang bertentangan dengan undang-undang bagi memastikan kes pertuduhan diteruskan terhadap Dato’ Seri Najib.

“Bahkan, elemen pendakwaan politik seperti ini untuk memberi imej negatif dan mendatangkan kerugian tidak wajar berlaku. Negara juga telah mengalami kerugian dengan hanya memperoleh semula US$ 1.8 billion berbanding rundingan yang dipersetujui sebanyak US$ 7 billion antara pentadbiran Dato’ Seri Najib dengan pihak IPIC..” tambahnya.

Tegas beliau Pemuda UMNO Malaysia sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan undang-undang sedia ada di Malaysia ini bertujuan memastikan kebenaran dan keadilan sentiasa ditegakkan.

“Pemuda UMNO Malaysia tidak akan bertolak ansur dan akan menentang tegas mana-mana cubaan daripada mana-mana pihak yang ingin menyalahgunakan undang-undang bagi kepentingan peribadi.” ujarnya.- UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit