Kapal UMNO Tidak Pernah Karam, Susun Kembali Perjuangan Demi Agama, Bangsa, Negara – Sharif Musa

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu menegaskan bahawa UMNO mampu bangkit kembali dan hari ini perlu menyusun semula gerak kerja demi meneruskan perjuangan agama, bangsa dan negara.

Katanya, sememangnya kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan belum terasa nikmat kerana ia baru ‘setahun jagung’ tetapi kestabilan telah dirasai apabila kerajaan ini mentadbir.

“Alhamdulillah! Hari ini kita masih berdiri bejuang dengan izin Allah Ta’ala atas nama parti UMMO. Mungkin tidak dapat bayangkan bagaimana kita mampu bangkit, dan hari ini UMNO dalam Kerajaan Perpaduan menyusun kembali keperluan agama, keperluan bangsa, keperluan negara.

“Memang belum terasa nikmat bakti UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, kerana baru setahun jagung. Namun yakinlah, sejarah negara membangun akan menjadi sebagai guru dan rujukan kita,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau menganggap cabaran besar UMNO baru-baru ini adalah menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan dianggapnya sebagai ombak besar kepada parti.

“Pastinya ombak yang melanggar kapal UMNO baru-baru ini amat kuat, ada yang menjerit semangat, ada yang mabuk hilang semangat, ada juga yang melatah ketakutan. Semua itu mengingatkan kita pada badai gelora melanggar kapal UMNO pada PRU14.

“Sebelum PRU dan PRN baru-baru ini, teriak jihad kuat berseru, kononnya tidak gusar dan tidak gentar walau badai gelora datang melanda. PRN sekadar ombak sahaja, bukan pun badai gelora. Mungkin ramai yang terlupa kerana jika masalah kita sebesar bahtera maka sabar dan bijaklah bertindak, rahmat Allah taala sebesar samudera

“PRN enam negeri ini, semoga menjadi semboyan dan obor yang akan membakar tiap-tiap jiwa pemimpin-pemimpin UMNO di harisan hadapan.”

Ujarnya, selain menunaikan tanggungjawab mengikut Perlembangaan parti, PRN ini memberikan makna yang amat besar kepada kepimpinan terutamanya Presiden UMNO, Timbalan, Naib-Naib, MKT, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, Pengerusi-Pengerusi UMNO Negeri, 191 Ketua-Ketua UMNO Bahagian serta anggota akar umbi.

“Atas makna dan kecintaan kita kepada parti, sokongan jitu dan dukungan di bahu dari kita semua, pastinya dapat memberikan satu kekuatan yang luar biasa untuk Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memimpin setiap ahli UMNO yang ada bagi menggerakkan semua Bahagian berjalan mengikut sistem yang disediakan.

“Dengan waras akal, umum mengetahui bahawa, betapa parti UMNO itu difitnah sezalim-zalimnya, dan dihentam sehinggakan secara warasnya perjuangan UMNO sudah boleh dikafankan dan dikuburkan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.