UMNO Sabah Berhati-Hati, Hanya Bekerjasama Dengan Parti Hormati Perjanjian – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 18 Ogos – UMNO Sabah mengambil pendirian berhati-hati dan hanya akan bekerjasama dengan parti yang menghormati perjanjian satu sama lain, kata Pengerusi Perhubungannya Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata proses gabungan dengan parti lain sebelum ini telah mengajar UMNO Sabah untuk menjadi matang dalam menjalin kerjasama dengan parti lain di negeri ini.

“Kita akan bekerjasama dengan parti politik yang menghormati perjanjian satu sama lain dan memberi manfaat kepada UMNO dan Sabah.

“Kita juga akan melihat rakan-rakan yang ada kesetiaan, keikhlasan dalam melaksana tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang untung nasib rakyat Sabah… kita tidak mahu lagi krisis dalaman yang mengganggu usaha membangunkan Sabah,” katanya di sini, hari ini.

Justeru, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata semua ini bergantung kepada keadaan dan akan memastikan siapa pun gandingan UMNO Sabah nanti akan menjadi faktor kekuatan dan kemenangan kepada calon BN pada pilihan raya akan datang.

Apa pun, beliau berkata, dari awal lagi UMNO Sabah sudah menjelaskan bahawa masih terlalu awal untuk menyatakan penyertaan dengan mana-mana gabungan parti politik di Sabah.

“Apa yang kita buat hari ini adalah memperkukuhkan semua jentera parti. Kumpul isu-isu dan maklumat yang akan diguna pakai semasa kempen pilihan raya nanti.

“Menyusun strategi baru dan mendekati pihak berkepentingan termasuk pengundi muda untuk memastikan bahawa UMNO berperanan memastikan bahawa pergolakan politik ini tidak akan menjejaskan peluang UMNO dan BN untuk memerintah negeri Sabah,” jelasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.