UMNO Perlu Dipulihkan… Cukup-Cukuplah Melabel Sana-Sini – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – UMNO perlu dipulihkan dan tindakan tuduh-menuduh tanpa asas seharusnya dihentikan bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti keramat itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, gambar yang tular sejak semalam, memaparkan beliau bersama Datuk Seri Hishamuddin adalah foto lama.

Game label-melabel sudah bermula. Tular sejak semalam gambar saya bersama Datuk Seri Hishamuddin dikeluarkan dan ada yang mengatakan bahawa saya berkomplot dengan beliau. Ada juga yang menyatakan bahawa saya ‘dicop’ sebagai ‘budak Hisham’ dan sebagainya.

“Suka saya ingin menjelaskan, gambar yang ditularkan ini adalah di perjumpaan saya dengan beliau pada 25 September 2019.

“Ya, 2019. Ketika UMNO masih lagi pembangkang dan kerajaan pada ketika itu adalah Pakatan Harapan (PH). Saya hanyalah sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin dan belum lagi menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut menyeru seluruh ahli dan pendukung parti untuk bekerja keras bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti itu.

“Cukup-cukuplah kita melabel sana-sini. UMNO ini perlu dipulihkan, bukan terus dengan tuduh-menuduh tanpa asas.

“Tugas kita untuk kembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO, bukan menjauhkan rakyat daripada parti,” katanya lagi.

Sejak semalam, tular gambar Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh bersama Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ahli Parlimen Sembrong yang digantung keahliannya dalam parti pada Januari lalu.

Ada mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga EXCO Kerajaan Melaka itu berkomplot dengan bekas Naib Presiden UMNO berkenaan, ada juga melabel beliau sebagai ‘budak Hisham’. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit