Kembalikan UMNO Pada Maruah Asalnya – Dr Akmal
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata adalah menjadi peranan sayap parti itu untuk mengembalikan maruah UMNO pada kedudukan sebenarnya.
Katanya, kebangkitan UMNO perlu diraih kembali bagi memastikan parti ini terus relevan dalam berdepan masa hadapan politik negara yang kian mencabar.
“UMNO ini milik kita, sayangkan UMNO. Tak mampu lihat parti ini terus jatuh, maka kita ambil tanggungjawab, untuk kembalikan semula UMNO ini pada maruah sebenarnya.
“Apa yang lebih penting adalah survival UMNO, ini bukan soal saya tapi soal parti, saya tidak getar, tidak pekakkan telinga, tidak butakan mata kerana apa yang penting adalah UMNO dan perlu dimartabatkan kita semua.
“Ramai yang bertanya kenapa UMNO begini, adakah UMNO tidak mampu bangkit kembali,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada Post-mortem Pilihan Raya Enam Negeri Pemuda UMNO Malaysia, yang diadakan di International Youth Centre, malam tadi.
Turut hadir adalah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Abd Rahman Dahlan; Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah dan ketua-ketua Pemuda seluruh negara.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata post-mortem yang dilakukan itu adalah bagi mendengar pandangan dan rintihan daripada kepimpinan akar umbi Pemuda yang merasai sendiri perjuangan mereka bersama rakyat di kawasan.
Jelas Dr Akmal lagi, beliau akan membawa segala hasil daripada perbincangan ini dibawa ke peringkat tertinggi parti.
“Kita datang dengan semangat kekeluargaan, tidak ada bergaduh sesama sendiri, boleh beza pendapat ia diraikan tapi jangan letak kesalahan atas sesiapa.
“Ramai punya idea yang baik nyatakan dengan terbuka dan langkah masalah dan penyelesaian hari ini untuk sama-sama garap dan jadikan inilah pendirian Pemuda UMNO Malaysia,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Dr Akmal turut menyatakan bahawa beliau akan turut sama turun ke bahagian-bahagian bagi memperhalusi dan mendengar pandangan daripada sayap itu.
“Hari ini kita teruskan untuk bincang masa depan UMNO dan parti, dan percayalah selain daripada bincang hari ini, kita akan turun ke akar umbi.
“Semua daripada kita dapat lunas dan beri pandangan, apa sekali pun UMNO mesti berubah, apa sekali sekalipun jika kit lena dibuai mimpi suatu hari nanti UMNO pasti akan dikuburkan, kita tidak membenarkan perkara itu berlaku,” katanya. – UMNO Online