Gandingan PH-BN Mampu Pertahan Kemenangan Di Parlimen Pulai, Dun Simpang Jeram

PONTIAN, 18 Ogos – Gandingan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat mampu mempertahan kemenangan di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil 9 Sept ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Ahmad Maslan berkata untuk mencipta kemenangan yang lebih selesa, semua penyokong PH dan BN perlu keluar mengundi.

“Jika dicampurkan kedua-dua undi yang diperoleh PH dan BN pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15), kita boleh menang selesa tetapi itu hanya formula atas kertas, yang tidak semestinya berlaku.

“Apabila hari kejadian, ia bergantung kepada sejauh mana (peratusan) keluar mengundi oleh penyokong PH-BN. Kita mesti mengeluarkan seberapa ramai penyokong untuk mengundi,” katanya selepas pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 peringkat Johor di sini semalam.

Beliau berkata UMNO Johor akan mengadakan mesyuarat tertutup khas malam ini bagi membincangkan persiapan mengenai pilihan raya bagi kedua-dua kerusi yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata mesyuarat berkenaan, yang diadakan di kediaman Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, akan dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan beberapa pemimpin parti.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Ogos, pengundian awal pada 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.