Baharui Dasar Berkait Anak Muda, Usaha Relevankan UMNO – Mohd Hairi

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah berpandangan dasar-dasar parti berkaitan anak muda memerlukan penambahbaikan dalam usaha menarik sokongan mereka kepada parti keramat ini.

Jelas beliau, ianya penting dalam usaha dan memastikan bahawa parti ini terus relevan dalam membawa perjuangan anak muda.

“Hari ini kita lihat dasar parti mungkin ketinggalan hari kena bagi mesej kepada kepimpinan pusat termasuk saya sebagai MKT

“Saya rasa dasar-dasar parti untuk orang muda harus diambil pendekatan yang baharu untuk membawa satu naratif dasar segar dan bugar.

“Bagi membuktikan yang UMNO hari ini punya pemimpin hebat, pejuang hebat dan berwibawa bagi memberi pandangan yang bernas,” ujar beliau.

Mohd Hairi berkata demikian pada Post-mortem Pilihan Raya Enam Negeri Pemuda UMNO Malaysia, yang diadakan di International Youth Centre, malam tadi.

Turut hadir adalah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Abd Rahman Dahlan; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh dan ketua-ketua Pemuda seluruh negara.

Beliau dalam pada itu turut mengajak kepimpinan akar umbi Pemuda untuk bersama memperkukuh kekuatan bagi memastikan perjuangan UMNO ini terus dibawa di samping membina naratif baharu ke arah masa depan parti yang lebih baik.

“Hari ini kita kena bergerak sederap jangan kita pecahkan lagi, cucuk sana sini akhirnya dapat apa? Robohkan rumah kita sendiri yang kuat.

“Marilah sama-sama membantu kepimpinan Dr Akmal dan fikirkan hala tuju membawa naratif segar bagi mesej kepada anak muda melayu, yang kita ada produk, perkara baharu untuk diperjuangan kepada mereka,” ujar beliau. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit