PRN Jadi Pengajaran, Rosnah Ajak Ahli UMNO Kembali Perteguh Parti

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengajak ahli-ahli UMNO khususnya penyokong dan pendukung Barisan Nasional (BN) untuk menjadikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu sebagai pengajaran.

Ini kerana katanya, untuk membina kekuatan sesuatu organisasi memerlukan kepimpinan, kesatuan hati dan kumpulan, kerjasama serta strategi yang ampuh.

“Kota Rom tidak terbina dalam satu hari namun empayarnya boleh dijatuhkan dengan seketika sahaja.

“Jati diri, kesetiaan dan keikhlasan amat penting malah perlu kita ingat kejatuhan sesebuah organisasi bermula dengan kesombongan, pengkhianatan, pecah dan perintah, berpuak-puak, hati yang sentiasa ingin melihat kesusahan dengan kejatuhan orang lain,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas Rosnah yang juga Ketua Wanita Papar, berdasarkan kepada situasi semasa, kepimpinan dan ahli-ahli UMNO perlulah bersatu hati dan terus bersatu hati agar kembali teguh.

“Jangan menghina dan mentertawakan kejatuhan orang lain hari ini kerana percayalah takdir orang lain dan juga takdir kita bukan milik atau di bawah kawalan kita.

“Kita telah berusaha dan kalah menang dalam PRN ini adalah ketentuan yang telah ditetapkan. Kita hormati proses demokrasi iaitu meraikan kejayaan dan sentiasa bersangka baik.

“Namun dalam masa yang sama kita tetap bersamangat untuk bersatu, bersetia dan berkhidmat agar UMNO/BN tidak dilupakan sebaliknya bakal kembali sebagai sebuah parti yang lebih kukuh pada masa depan,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit