Manfaatkan Lima Tahun, Fokus Agenda Ekonomi Madani Perkasa Negara Dan Rakyat – Azalina

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah berlalu dan kini Kerajaan Perpaduan perlu fokus dalam agenda Ekonomi Madani bagi memperkasa ekonomi negara, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurutnya ini penting bagi menyatakan komitmen kerajaan kepada rakyat melalui pelaksanaan ekonomi yang bersifat inklusif.

“Inilah masa kepada kerajaan Madani untuk memberi komitmen terbaik dengan melaksanakan Ekonomi Madani yang dijanjikan dan reformasi institusi sebagai tiang kepada pencapaian.

“Kita tidak boleh lagi takut kepada perubahan melalui reformasi institusi yang dinyata dan dilaksanakan.

“Rakyat perlu bersama kerajaan Pusat untuk mencapai perubahan kerana kita mempunyai lima tahun untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada diskusi dalam ‘Analisa PRN 2023 Di Mana Silapnya?’ yang disiarkan pada Selasa malam secara langsung menerusi laman sosial UMNO Online dan Media Perpaduan.

Turut menjadi panel adalah Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam dan Pensyarah Kanan Antarabangsa UUM, Prof Dr Azizuddin Mohd Sani.

Azalina yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi berkata begitu juga dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu yang memenangi PRN.

Katanya mereka perlu terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat bagi menonjolkan bahawa komitmen UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak pernah luntur biarpun pelbagai persepsi dilemparkan kepada parti keramat ini.

“ADUN baharu daripada UMNO perlu memberikan perkhidmatan terbaik dengan menunjukkan kelebihan kita tapi mengambil kira juga seperti yang disebut Lokman tentang persepsi.

“Mungkin persepsi kepada kepimpinan UMNO ialah negatif tetapi saya hendak sebut masa kita kalah pada PRU14 dalam apa senario sekalipun banyak orang di kawasan luar bandar apabila ada masalah mereka akan cari orang UMNO sama ada menjadi kerajaan atau tidak,” ujar beliau.

Azalina dalam pada itu turut menjawab berkenaan pelbagai sentimen dimainkan ketika ini termasuk menukar kepimpinan tertinggi negara dan UMNO.

“Itu sebab bagi saya cakap-cakap berkenaan tukar kerajaan Pusat, tukar Perdana Menteri, tukar Presiden tidak boleh dengar.

“Apa lagi mereka boleh cakap? Kalau tak mengutuk, tak menghina itu bukan politik mereka.

“Jadi buktikan daripada pelakuan kita daripada segi pelaksanaan tanggungjawab sebagai satu parti politik berhemah yang merupakan sebagian daripada kerajaan Pusat,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.