Bergerak Ke Hadapan, Fokus Kerja Kebajikan Kepada Rakyat – Azhari

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berharap keputusan Pilihan Raya Negara (PRN) lalu dapat dijadikan pembakar semangat kepimpinan dan ahli parti untuk memberikan khidmat terbaik buat rakyat.

Jelas beliau, ini termasuk wakil rakyat yang mendapat mandat daripada rakyat pada PRN lalu.

“PRN telah pun selesai, rakyat sudah memberikan mandat kepada semua wakil rakyat.

“Maka saya menyeru pemimpin politik sama ada yang menang atau tidak termasuk yang berjawatan dalam parti sudah tiba masanya untuk tumpu kepada kerja membantu kebajikan rakyat.

“Tumpu kepada kerja hakiki bagi memastikan segala rintihan rakyat di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Tambah Azhari, sikap saling tuding-menuding juga perlu dihentikan kerana terlalu banyak masa telah dibazirkan selama ini dengan pertikaian politik sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tolak tepi soal pandangan politik masing-masing kerana kita telah banyak memberi masa yang terlalu banyak kepada politik sejak PRU15 hingga ke PRN ini.

“Cukuplah pertikai sana sini, nak katakan sana salah sini betul dengan buat andaian. Marilah kita move on, bekerja dan tunggu mandat rakyat pada lima tahun lagi,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.