UMNO Perak Sokong Ahmad Zahid Kekal Presiden

IPOH, 16 Ogos – UMNO Perak sebulat suara mempertahankan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kekal sebagai Presiden Umno ketika banyak pihak melihat beliau perlu dipertanggungjawabkan atas kekalahan banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Sabtu lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata keputusan itu berdasarkan mesyuarat perhubungan UMNO negeri yang berlangsung semalam dengan ia didasari beberapa hujah antaranya tiada ahli dari parti lain dilihat tegas mendesak presiden parti masing-masing untuk meletak jawatan di sebalik kekalahan sebelum ini.

“Hujahnya berpuluh tahun DAP sebelum ini tidak memenangi pilihan raya tetapi tiada pun orang DAP desak Lim Kit Siang letak jawatan. Berpuluh tahun lamanya PAS tak menang pilihan raya malah kalah berkali kali namun tiada pula orang menuntut supaya Presiden PAS letak jawatan.

“Semasa BN menang PRN Melaka dan PRN Johor sebelum ini, pada masa itu PAS, PKR, DAP kalah namun semasa itu tiada siapa pun suruh Haji Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang), Tan Sri Muhyiddin (Presiden BERSATU) letak jawatan.

“Dan yang paling cantiknya berdasarkan semakan saya baru-baru ini, terdapat 18 kerusi yang ditandingi oleh Perikatan Nasional (PN) hilang deposit namun tiada calon UMNO hilang deposit. Jadi kenapa tiada orang menuntut Pengerusi PN letak jawatan?” katanya kepada pemberita sewaktu Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 siri 7 di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Katanya jika Ahmad Zahid meletak jawatan maka ahli PAS akan menyokong UMNO dan begitu juga tiada jaminan bahawa parti Bersatu akan dibubarkan untuk membolehkan ahli parti itu masuk UMNO.

“Jadi kita tak akan menari ikut gendang mereka. Nasihat saya kepada orang-orang Umno, tak perlu menarik ikut gendang orang luar UMNO memandangkan kalau kita tengok yang mendesak sebegini antaranya adalah orang yang bukan lagi di dalam Umno seperti Tan Sri Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin,” katanya. – HMetro


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit