Rakyat Akan Kembali Sokong UMNO/BN… Perlukan Langkah Pembuktian Kerajaan Perpaduan – Penganalisis Politik

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Rakyat akan kembali menzahirkan sokongan mereka kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam tempoh jangka masa panjang dan ianya memerlukan Kerajaan Perpaduan membuktikan kecekapan mereka mentadbir negara.

Pensyarah Kajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr Azizuddin Mohd Sani berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung baru-baru ini memperlihatkan keutuhan kedudukan Perikatan Nasional (PN) di kawasan luar bandar, sama seperti Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Sebenarnya kalau kita lihat PRN ini adalah satu persaingan yang sama seperti apa yang berlaku pada PRU lepas. Kalau kita lihat Pas di kawasan-kawasan utara dan pantai timur manakala Kerajaan Perpaduan di ‘urbanized area’.

“Bagi saya, UMNO tidak sempat untuk ‘recover’ daripada proses pemilihan sebenarnya. Kita tahu bahawa UMNO ada masalah dalaman ketika PRU lepas dan berlaku ‘pembersihan’. Ini telah menyebabkan orang yang kecewa dengan situasi ini mengalihkan sokongan mereka kepada Perikatan Nasional (PN).

“Perkara ini sebenarnya telah berlaku pada PRU lepas dan terus dituruti pada PRN ini kerana bagi saya apabila Pemilihan UMNO diadakan pada Mac lepas, parti ini belum sempat ‘recover’ sokongan para penyokong yang kecewa… namun mereka masih memberikan sokongan kepada konsep Kerajaan Perpaduan yang dibawa pada PRN ini,” katanya ketika sesi siaran langsung bertajuk ‘Analisa PRN 2023: Di Mana Silapnya’ di Facebook UMNO Online, semalam.

Menurutnya, meskipun kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH) masih di peringkat awal, kebolehan kedua-dua parti ini untuk menyalurkan undi antara satu sama lain agak tinggi dan ianya merupakan kejayaan pertama gabungan ini.

“Saya nampak sokongan dan ‘transferbility’ undi yang dilakukan oleh para pengundi PH kepada calon-calon UMNO/BN terutamanya seperti di Pulau Pinang dan perkara ini berlaku secara ‘vice-versa’.

“Secara umumnya, PRN ini adalah kejayaan pertama sebab saya rasa apa yang kita nak lihat selama ini adakah BN-PH mampu bekerjasama. Kerjasama dilihat memang ada meskipun ada bahagian-bahagian tertentu berhadapan dengan sedikit masalah, tetapi secara umumnya BN-PH mampu bergabung untuk bekerjasama.

“Apabila bercakap mengenai PRU lepas dan Kerajaan Perpaduan dibentuk, ianya memberikan kelebihan kepada UMNO/BN meskipun sekarang ini dilihat kurang mempunyai sokongan. Tetapi untuk jangka masa panjang, saya rasa rakyat akan mula kembali menyokong UMNO/BN kerana kita lihat PN hanya menguasai negeri,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Azizuddin beranggapan bahawa penguasaan PN di negeri-negeri tertentu agak terbatas dan masih memerlukan kerajaan persekutuan untuk memacu ekonomi.

“Kalau kita tahu, kuasa pemerintahan negeri ini terbatas dalam bidang kuasa tertentu. Persekutuan itu yang memainkan peranan penting. Dalam konteks Negeri Kedah, untuk membangunkan ekonomi mereka bergantung kepada kerajaan persekutuan dan tidak mudah untuk bergerak secara bersendirian.

“Dalam konteks ini saya rasa ini merupakan faktor yang kuat untuk menarik kembali sokongan rakyat terhadap UMNO/BN cuma perlu dilakukan langkah-langkah seterusnya. Kalau kita lihat, mengapa lebih 60 peratus orang Melayu mengalihkan sokongan mereka ke PN kerana sentimen yang mereka bawa lebih-lebih lagi dalam isu 3R (agama, bangsa, raja).

“Sentimen ini menarik orang Melayu untuk lebih percaya menggunakan emosi terhadap sentimen dibawa. Perkara ini bukan berlaku di Malaysia sahaja tetapi juga di Eropah. Sebagai contoh kalau kita ingat peristiwa ‘Brexit’,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yakin bahawa rakyat akan kembali memberikan sokongan kepada UMNO/BN dan Kerajaan Perpaduan sekiranya mereka dapat hidup selesa serta merasai limpahan ekonomi yang dicipta.

“Sebenarnya, Kerajaan Perpaduan telah memberikan tawaran yang menarik kepada rakyat pada PRN ini namun mereka menzahirkan undi mengikut emosi. Segala sentimen dimainkan ini akan dapat dirungkai apabila Kerajaan Perpaduan bergerak dan ekonomi membuahkan hasil.

“Apabila rakyat selesa dan dapat rasa nikmat kelimpahan ekonomi itu, lambat laun mereka akan kembali memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Turut dijemput sebagai panelis pada program bual bicara ini ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit