PRN Medan Kepada Ujian Pertama Untuk BN Dan PH – Azalina

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) ini adalah medan kepada ujian pertama untuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, ini kerana seperti diketahui bahawa kerjasama kedua-dua gabungan yang mempunyai ideologi berbeza ini membentuk kerajaan berdasarkan titah daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Dalam perspektif yang pertama sebenarnya tidaklah kata yang kita ini gagal sebab ini adalah ujian atau langkah pertama bersama, sebab Kerajaan Perpaduan itu diadakan bersama selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Itu sebabnya selepas lapan bulan, PRN ini adalah ujian pertama kita bersama sebagai satu pasukan dengan latar belakang falsafah politik dan pendekatan kita yang berbeza sudah bertahun.

“Tetapi persamaannya pada kali ini berhadapan dengan PRN yang mahukan perpaduan atas titah YDPA. Pada saya titah ini adalah ikatan yang amat utama kerana ini adalah titah di bawah Perlembagaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada diskusi dalam ‘Analisa PRN 2023 Di Mana Silapnya?’ yang disiarkan malam tadi secara langsung menerusi laman sosial UMNO Online dan Media Perpaduan.

Turut menjadi panel adalah Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam dan Pensyarah Kanan Antarabangsa UUM, Prof Dr Azizuddin Mohd Sani

Azalina yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi berkata, PRN ini juga perlu dinilai berdasarkan perspektif yang lebih luas.

Katanya ini kerana, jika dilihat lebih teliti beberapa keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan peningkatan undi popular kepada BN dan PH dan lebih penting mengekalkan status quo 3-3.

“Saya melihat kepada perspektif ujian yang pertama dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil kata undi popular daripada PN adalah kurang daripada blok kerajaan. Jadi pada saya adanya kelebihan sedikit berbanding anggapan seolah bahawa kita kalah.

“Pada saya status quo itu bagi saya adalah penting kerana jika kita lihat ini sebagai definasi kekalahan mungkin ia satu pentafsiran yang agak sempit. Kemudian kalau tengok daripada 108 DUN BN bertanding, undian 53 DUN meningkat manakala untuk PH daripada 137, 94 DUN meningkat.

“Kalau tengok daripada PN boleh dilihat sebagai turun di beberapa DUN iaitu Terengganu (8), Selangor (2), Kedah (2), Kelantan (36).

“Jika tengok undi satu persatu, pelbagai perspektif boleh kita lihat tetapi bagi saya kena lihat di manakah kejayaan bukan kesalahan. Jadi selepas lapan bulan hidup bersama ini adalah ujian kepada kejayaan pertama daripada sudut mengekalkan status quo,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.