Pencapaian Lapan Bulan Kerajaan Perpaduan Kekalkan Tiga Negeri Memberangsangkan – Lokman Adam

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Pencapaian Kerajaan Perpaduan untuk mengekalkan tiga negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu agak memberangsangkan meskipun baru mencapai usia lapan bulan mentadbir negara.

Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu menerima hakikat dan realiti bahawa doktrinisasi atau propaganda mengenai Dap selama 58 tahun terlalu berjaya.

“Saya rasa hakikat dan realiti kita kena sedar bahawa doktrinisasi atau propaganda terhadap Dap terlalu berjaya. Selama 58 tahun kita menanam pemikiran rakyat bahawa Dap adalah sebuah parti rasis daripada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dan ianya diteruskan.

“Meskipun propaganda ini dimainkan, tiba-tiba pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu rakyat buat keputusan agar mana-mana parti tidak boleh memerintah secara bersendirian maka akhirnya Yang di-Pertuan Agong bertitah agar kita berpakat membentuk kerajaan.

“Pada peringkat awal, kalau Tan Sri Muhyiddin fikir berkaitan Melayu dan Islam, beliau akan menerima titah Tuanku dan kita akan ada kerajaan yang membariskan lebih ramai ahli kabinet Islam,” katanya ketika sesi siaran langsung bertajuk ‘Analisa PRN 2023: Di Mana Silapnya’ di Facebook UMNO Online.

Jelasnya, isu 3R (bangsa, raja dan agama) yang dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) dan pelbagai sentimen lain turut menjadi ‘perencah’ kepada peralihan sokongan rakyat.

“Cerita Islam akan terancam, institusi agama diperkotak-katikkan, hak istimewa Melayu akan tergugat dan sebagainya… kalau kita lihat lebih kepada isu 3R. Namun saya rasa kita dah berjaya untuk menaikkan undi di beberapa kawasan.

“Kita juga kena terima bahawa pihak lawan turut membawa isu BN korup. Untuk menukar ‘mind set’ pengundi menerima semua ini bukan satu perkara yang mudah. Meskipun begitu, dalam masa lapan bulan kita nak yakinkan pengundi kita menerima PH juga dalam keadaan yang baik.

“Kita juga perlu menerima hakikat bahawa banyak kawasan BN dimenangi oleh rakan-rakan PH dengan bergaya. Ada juga di sesetengah kawasan PH berjaya ‘transfer’ undi kepada rakan-rakan Kerajaan Perpaduan dengan lebih baik.

“Di Selangor kita sukar untuk menang sebelum ini. Sekiranya tiada peranan mereka, kita mungkin tidak boleh menang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Lokman turut beranggapan bahawa Kerajaan Perpaduan akan kekal selama lima tahun dan tidak akan goyah akibat PRN ini.

“Bagi saya, pencapaian lapan bulan Kerajaan Perpaduan ke tahap mengekalkan tiga negeri, undi popular melebih PN ini dah cukup baik. Sekiranya mereka ingin mendabik dada, ini tidak boleh dianggap sebagai referendum rakyat Malaysia sebab hanya enam negeri sahaja terlibat.

“Kelantan, Terengganu dan Kedah masih menjadi kubu kuat Pas/PN. Tiga lagi negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan masih di bawah Kerajaan Perpaduan. Namun begitu, secara keseluruhan 392 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masih dikuasai oleh PH.

“Pada pandangan saya, kerajaan ini akan kekal selama lima tahun,” katanya lagi.

Turut dijemput sebagai panelis pada program bual bicara ini ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Pensyarah Kanan Antarabangsa UUM, Prof Dr Azizuddin Mohd Sani. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.